Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Mengurus ekzema anak, apa yang ibu bapa perlu tahu?

    KUALA LUMPUR – Ekzema adalah penyakit kulit yang lazim ditemui dan boleh terjadi pada peringkat usia kecil lagi.

    Bagi sesetengah individu, mereka dapat menangani penyakit itu dengan kesan minimum terhadap kehidupan seharian, namun ada yang akan menderita sepanjang hayat.

    Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) dalam satu kenyataan berkata berdasarkan statistik Persatuan Dermatologi Malaysia, terdapat lebih 20 peratus kanak-kanak Malaysia menghidap ekzema, yang juga dikenali sebagai dermatitis atopik.

    Walaupun ekzema tidak selalunya penyakit alahan, namun alergennya boleh memainkan peranan dalam memburukkan lagi keadaan, seperti hama habuk dan bulu haiwan peliharaan, menyebabkan kanak-kanak mengalami alahan terhadap makanan, haiwan peliharaan, hama habuk atau debunga.

    Pakar perunding pediatrik dari SMCV, Dr Melanie Majaham berkata ekzema biasanya terjadi kepada kanak-kanak yang mempunyai kecenderungan kulit kering. “Apabila terdedah kepada pencetus seperti bahan kimia, peluh dan haba, kulit menjadi meradang dan sangat gatal dan ini mengakibatkan kanak-kanak sentiasa menggaru yang seterusnya merosakkan kulit.

    Dr Melanie Majaham. – Gambar SMCV
    Dr Juani Hayyan Abdul Karaf. – Gambar SMCV
    Nasihat buat ibu bapa yang menguruskan ekzema pada anak atau anak damit mereka ialah dengan memberikan pelembapan berterusan sepanjang masa bagi memastikan kanak-kanak merasa selesa.
    Lebih daripada 50 peratus kanak-kanak yang menghidap ekzema menghidap asma pada kemudian hari, dengan 33 peratus lagi mengalami alahan makanan serta peningkatan risiko mengalami rinitis alahan.

    “Kulit yang rosak sangat terdedah kepada jangkitan bakteria, virus dan kulat. Kanak-kanak itu mungkin mengalami kesakitan, ketidakselesaan berterusan dan juga demam malah mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan antibiotik dan ubat antivirus IV,” katanya dipetik dalam kenyataan itu.

    Dr Melanie berkata kanak-kanak yang menghidap ekzema boleh mengalami tompokan merah, kering, gatal pada kulit akibat keradangan dan kerap menggaru sehingga boleh menyebabkan lepuh, meleleh, berkerak atau kudis akibat jangkitan.

    Beliau berkata pilihan rawatan bergantung pada fasa mana ekzema berada dan tahap flareup aktif, dan kanak-kanak mungkin memerlukan krim berasaskan steroid yang penting untuk mengurangkan keradangan dan membantu memecahkan ‘kitaran gatal’, manakala dalam situasi di mana kulit dijangkiti, antibiotik dan ubat antivirus mungkin diperlukan.

    “Ibu bapa harus diyakinkan bahawa krim steroid yang diberikan secara betul dan dalam tempoh yang singkat, ia tidak akan membawa komplikasi jangka panjang,” katanya.

    Dr Melanie juga menjelaskan bahawa semasa fasa subakut atau kronik iaitu ketika kulit menjadi kering, tetapi tidak meradang secara aktif, terapi penyelenggaraan adalah penting untuk mencegah flareup.

    “Ini termasuk krim pelembap intensif yang bebas daripada pewangi dan bahan kimia tertentu. Kanak-kanak juga perlu mandi dengan larutan bebas sabun untuk mengelakkan kulit kering secara berlebihan. Kulit yang basah harus dikeringkan, perlahan-lahan dengan tuala. Air yang terlalu panas cenderung memburukkan ekzema,” katanya.

    Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) serta Pakar Bedah Kepala dan Leher SMCV, Dr Juani Hayyan Abdul Karaf berkata pilihan rawatan untuk alahan juga berbeza-beza dan bergantung kepada tapak manifestasi untuk rawatan simptomatik.

    “Terdapat imunoterapi dalam bentuk suntikan yang tersedia untuk merawat alahan, tetapi ini untuk alergen tertentu seperti hama habuk rumah.

    “Reaksi alahan mempunyai pencetusnya, jadi ibu bapa harus memerhatikan anak-anak mereka sama ada mudah terdedah kepada makanan atau persekitaran tertentu seperti persekitaran berdebu, sejuk, panas atau bulu haiwan,” katanya.

    Beliau berkata dalam kes anak damit yang baru lahir, ibu bapa harus melihat tanda-tanda alahan atau tidak bertole-ransi anak seperti cirit-birit, muntah atau ruam kulit dan harus menukar kepada susu tanpa tenusu.

    Dr Juani berkata walaupun ia bukan kejadian yang jarang berlaku, tidak ramai yang sedar bahawa kanak-kanak yang menghidap ekzema boleh mengalami alahan makanan, rinitis alergi dan asma yang juga dikenali sebagai ‘perarakan atopik’ yang merupakan perkembangan semula jadi penyakit alahan dari kecil hingga ke dewasa.

    Lebih daripada 50 peratus kanak-kanak yang menghidap ekzema menghidap asma pada kemudian hari, dengan 33 peratus lagi mengalami alahan makanan dengan peningkatan risiko mengalami rinitis alahan.

    Ekzema disebabkan oleh gabungan pencetus alam sekitar dan genetik dan ia cenderung menjadi lebih biasa jika terdapat sejarah keluarga ekzema atau bentuk manifestasi alahan lain seperti asma atau rinitis alergi. Pencetus persekitaran boleh menjadi faktor tertentu seperti makanan, sabun, krim atau bahan kimia.

    Apabila bercakap tentang kehamilan, kajian telah menunjukkan bahawa wanita yang makan lebih banyak ayam semasa hamil boleh meningkatkan risiko ekzema pada anak damit mereka. Kajian juga menunjukkan bahawa wanita hamil yang mengambil lebih banyak tenusu, telur dan diet berasaskan tumbuhan mungkin memainkan peranan dalam melindungi anak mereka daripada ekzema.

    Oleh kerana pada masa ini tiada ubat untuk keadaan kulit atau alahan lain, Dr Melanie mempunyai satu nasihat buat ibu bapa yang menguruskan ekzema pada anak atau anak damit mereka: melembapkan!.

    “Ibu bapa harus memastikan anak sentiasa sejuk kerana haba boleh memburukkan ekzema. Pelembapan berterusan sepanjang masa juga memberi keajaiban dalam memastikan kanak-kanak selesa.

    Elakkan daripada menggunakan sabun anti-septik yang lebih keras dan boleh memburukkan ekzema.

    “Sesetengah ibu bapa berpendapat ekzema berpunca daripada kebersihan yang kurang baik dan cenderung menggunakan sabun antiseptik. Walau bagaimanapun, cara penyelesaian mandian yang lebih sesuai ialah menggunakan bahan yang bebas sabun dan pewangi serta kaya dengan emolien. Sabun ‘organik’ bukanlah penyelesaiannya, kerana ia mungkin tidak cukup melembapkan,” jelas Dr Melanie. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...