Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Menikmati bunga kapok di Muzium Sejarah Vietnam

    HANOI – Penggemar bunga boleh menikmati pemandangan ‘oasis’ di pusat bandar Hanoi. Muzium Negara Sejarah Vietnam dan Hanoitourist menawarkan lawatan harian khas untuk mengagumi bunga kapok di dalam kawasan muzium.

    Phung Quang Thang, pengarah Hanoitourist, berkata syarikat pelancongan sedang sibuk menyediakan produk pelancongan untuk persediaan menerima tetamu berikutan sempadan telah dibuka.

    “Rancangan untuk lawatan seumpama itu telah lama dibincangkan oleh syarikat dan muzium sebagai produk pelancongan segar yang istimewa di Hanoi untuk pengunjung,” katanya.

    Setiap Mac, bangunan Muzium yang berunsur Indochina diserikan dengan bunga kapok.

    “Lawatan bertajuk ‘Bac Co, Musim Bunga Kapok’ dan lawatan berjalan kaki sedia ada adalah dua lawatan biasa di ibu negara,” katanya. Bac Co adalah singkatan, nama bekas muzium Vietnam.

    Sebatang pokok kapok kelihatan mekar di Muzium Negara Sejarah Vietnam. – ANN/VNS
    Kelihatan sekumpulan wanita menikmati bunga kapok. – ANN/VNS

    Harga lawatan baharu itu akan ada potongan harga 50 peratus pada bulan Mac, hanya berharga VND$25,000 (AS$1) bagi setiap kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan VND$75,000 bagi setiap orang dewasa.

    “Pengunjung bukan sahaja akan mengagumi keindahan bunga itu, mengambil gambar tetapi juga memahami budaya rakyat kawasan luar bandar utara melalui permainan rakyat, di tepi pokok kapok tua,” katanya.

    Pengunjung juga akan berpeluang memahami pelbagai khazanah negara yang dipelihara di muzium seperti dram Ngoc Lu, loceng Pagoda Van Ban, batu lama dari Pagoda Tu Ky dan jambatan batu purba.

    “Saya berharap lawatan itu akan memenuhi permintaan pelawat, yang cenderung lebih suka alam semula jadi,” kata Thang.

    Pokok kapok mekar penuh pada bulan Mac untuk beberapa minggu sahaja. Bunga dengan lima kelopak merah terang yang besar kebanyakannya dilihat di utara negara itu.

    Pokok kapok tua yang besar, telaga air purba dan rumah komunal adalah ciri umum di perkampungan luar bandar di utara. Pokok itu dipanggil ‘Po Lang’ di kawasan Tanah Tinggi Tengah.

    Bunganya kekal cantik selama beberapa minggu sebelum jatuh apabila musim panas tiba. Kemudian tunas muda daun akan muncul pada dahan kosong. – ANN/VNS

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...