NEPAL – Apabila wang boleh membeli segalanya, begitu juga dengan menikmati hidangan yang menakjubkan di atas meja di kawasan kaki gunung di gunung Everest dengan pemandangan yang begitu indah dan menakjubkan.
Kini, begitu banyak syarikat-syarikat pelancongan telah menawarkan ‘Sarapan dan Hidangan’ di Gunung Everest dengan pakej-pakej yang tertentu. Apa yang pasti, setiap pakej hidangan dianggarkan berharga sekitar 3,000 pound hingga 4,000 pound setiap seorang.
Hidangan-hidangan yang disediakan akan diterbangkan dengan menggunakan helikopter dari ibu negara Nepal, Kathmandu ke kawasan Everest Base Camp pada 17,600 kaki tinggi dan setelah sampai di kawasan itu, helikopter tersebut akan turun dari ketinggian yang lebih rendah iaitu sekitar 14,000 kaki dan seterusnya hidangan akan disediakan serta dihidangkan untuk para pelanggan. Namun setiap pelanggan digalakkan untuk memakan dengan cepat setiap hidangan yang disediakan disebabkan oleh persekitaran tersebut yang kekurangan penyesuaian kepada tahap ketinggian yang menggayatkan. Setiap pelanggan hanya diberikan masa selama 15 minit untuk menghabiskan hidangan yang disediakan untuk mereka.
Sebuah syarikat yang dikenali sebagai The Explorations yang berpangkalan di Gloucestershire berkata bahawa mereka tertarik dengan konsep dan pakej hidangan di perkarangan gunung Everest itu malah ia akan berpotensi menjadi satu trend yang digemari oleh orang ramai. Andrew Wenzel bekerja sebagai perunding perniagaan bagi sebuah firma pelancongan mewah berkata kepada Dailymail bahawa setiap hidangan dan masakan yang disediakan sebenarnya lebih kepada individu-individu yang sudah terbiasa melakukan perkara-perkara yang paling mencabar dan sentiasa mencuba sesuatu yang baru untuk dialami. Menikmati hidangan di sekitar gunung Everest bukanlah sesuatu yang lazim dilakukan.
Disediakan
Dengan harga sekitar 4,000 pound, setiap pelanggan Syarikat The Explorations akan dihidangkan dengan menu sarapan pagi dengan persekitaran yang luas dan beratapkan langit yang membiru.


Pakej hidangan ini juga turut disertakan dengan penginapan dua malam di Hotel Kathmandu. Setiap pelanggan akan disediakan dengan set pakaian khas dan beberapa menu hidangan yang ditawarkan daripada telur, sosej, buah-buahan dan sebagainya.
Manakala sebuah lagi syarikat pelancongan yang dikenali sebagai Remote Land juga turut menawarkan beberapa pakej untuk menikmati hidangan di sekitar gunung tersebut.
Bagi syarikat tersebut, mereka ingin menawarkan sesuatu yang perlu dirasakan sekali dalam seumur hidup terutama berada di kawasan gunung yang tertinggi sekali di dunia ini. Ketua Pegawai Eksekutif Remote Land, Catherine Heald berkata bahawa perjalanan untuk menikmati trend ini sangat terkenal di kalangan pelanggan kaya dan mewah serta individu yang ingin melakukan sesuatu yang agak sedikit berbeza dengan mana-mana tawaran yang lain.
“Saya melihat kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada mereka yang hidup mewah dan sanggup untuk berbelanja besar demi menikmati hidangan di kawasan ini namun tidak juga dapat dinafikan ada juga di antara pelanggan kami sanggup berbelanja besar hanya untuk menikmati suasana Gunung Everest sekali dalam seumur hidup.

Terdapat beberapa pelanggan kami ingin mengunjungi kawasan Everest Base Camp namun tidak mahu melakukan perjalanan yang sangat sukar untuk sampai ke sana, oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk mengikuti pakej tawaran ini,” kata Catherine lagi kepada wartawan media.
Mengambil masa yang lama
Catherine turut menambah bahawa setiap masakan yang dimasak di kawasan yang tinggi sebenarnya mengambil masa yang lama untuk dimasak. Para cef akan melakukan banyak persediaan di salah sebuah kawasan yang dikhaskan untuk mereka memasak iaitu di Kongde Lodge yang mana kawasan ini terletak di 14,000 kaki di atas paras laut dan menjadikannya sebagai salah sebuah pusat peranginan yang tertinggi di dunia.
Bahan-bahan dan peralatan memasak sering diheret ke gunung dengan menggunakan porter kerana helikopter tidak mempunyai ruang yang cukup untuk kelengkapan-kelengkapan ini.
“Anda jangan merasa terkejut apabila melihat seekor yak membawa peti sejuk di belakangnya jika anda berada di laluannya,” tambah Catherine kepada wartawan media sambil tersenyum.
Salah seorang pereka fesyen terkenal, Prabal Gurung yang berpangkalan di New York dan keturunan Nepal merupakan salah seorang individu yang bertuah kerana dapat menikmati hidangan di kawasan Gunung Everest.
“Ketika saya sedang menghirup air teh, mata saya sering melihat keadaan sekeliling dan berasa sangat kagum. Dengan kawasan yang tinggi dan persekitaran yang sangat menakjubkan, ia ternyata begitu hebat dan saya merasa sangat berpuas hati.
Bagi anda yang gemar dengan keadaan semula jadi, kawasan ini memang khas untuk anda kerana semula jadi sekeliling yang sangat indah dan aman,” tambah Prabal mengakhiri temu ramah bersama dengan media. – Agensi