Menikmati hidangan di restoran gua 60 juta tahun

AMMAN – “Apakah perasaan awda menikmati makanan dan minuman di dalam gua berusia kira-kira 60 juta tahun?” George Haddadin, seorang warga Jordan berusia 69 tahun, sering bertanya kepada pelanggan yang makan di restorannya.

Restoran tersebut terletak di pusat bandar Madaba, kira-kira 30km dari ibu kota Jordan, Amman, yang terkenal dengan mozek Byzantine dan Umayyah. Melangkah ke dalamnya, terdapat sebuah lorong yang akan membawa pengunjung ke destinasi kulinari yang berubah daripada gua semula jadi berusia kira-kira 60 juta tahun. Gua itu mula-mula didiami oleh manusia semasa Zaman Batu, menurut kajian beberapa pakar.

“Ia muzium, seperti kelas sejarah dan tamadun, bukan seperti restoran,” kata Haddadin kepada Xinhua dalam temu bual baru-baru ini di tempat digelar ‘Mrah Salameh’.

Tempat tersebut dijadikan sebagai tempat letak kereta di belakang rumah keluarganya, kata Haddadin, juga seorang ahli geofizik dan bekas ketua Persatuan Ahli Geologi Jordan. Gua-gua yang tersembunyi itu ditemui secara kebetulan, katanya. Pada tahun 2008, beberapa batu segi empat tepat berhampiran lubang di atas tanah menarik perhatiannya, sekali gus memulakan usaha penggaliannya selama hampir tujuh tahun dengan beberapa ukiran purba ditemui.

“Terdapat persamaan antara geofizik dan penemuan sejarah dan tamadun yang wujud di sini… memindahkan data fizikal kepada model geologi adalah seperti membuat penggalian dan mengenal pasti tempoh dan bagaimana budaya pada masa itu,” katanya.

George Haddadin menunjukkan ukiran di dinding restorannya Mrah Salameh. – Xinhua
Kelihatan seorang pengunjung berada di restoran gua Mrah Salameh. – Xinhua

Mendedikasikan semua minatnya untuk itu, Haddadin juga mengharapkan lebih ramai warga Jordan dan pelancong untuk menerokai sejarah dan tamadun yang telah wujud di gua-gua dan kawasan sekitarnya sejak berabad-abad, jadi dia memutuskan untuk mengubahnya menjadi restoran dengan pencahayaan malap dan rasa ketenangan.

“Ia bukan pelaburan perniagaan yang baik, tetapi aset yang tidak ternilai untuk sejarah… Saya menganggap ia sebagai tanggungjawab saya untuk memberikan pengetahuan kepada orang ramai yang berkunjung ke sini mengenai kesedaran tentang sejarah dan tamadun terdahulu,” katanya.

Di dalam restoran yang dibuka semula beberapa bulan lalu selepas penutupan selama setahun di tengah-tengah pandemik COVID-19, Haddadin meletakkan lantai kaca yang boleh dilihat untuk memelihara keadaan semula jadi gua sambil memberikan pengunjung pengalaman makan yang unik di Zaman Batu.

Beliau berkata pengunjung sering memberitahunya mereka merasa selesa dan keselamatan semasa berada di restoran itu, yang dia percaya adalah perasaan serupa yang dikongsi oleh nenek moyang yang memasuki gua untuk berteduh.

“Gua itu memberikan keselamatan dan api dapat memberikan keselesaan,” katanya dan menambah bahawa dia gembira melihat suasana yang sama dikekalkan sepanjang zaman. – Xinhua