NANJING – Li Guoping, 60, merupakan seorang individu yang memiliki semangat yang cukup tinggi apabila dia telah berjaya menakluk beberapa puncak gunung tertinggi di dunia dan kejayaannya itu telah didorong oleh minatnya yang cukup mendalam terhadap bidang fotografi.
Dia merupakan seorang bekas jurulatih bola tampar yang dilahirkan di Wilayah Sichuan dan sejak tahun 1997 dia telah mula berjinak-jinak dalam bidang fotografi dengan melakukan kembara ke Sungai Yarlung Zangbo di Tibet bersama dengan kelengkapan peralatan kameranya untuk merakamkan setiap panorama indah di kawasan tersebut.
Pada tahun 2005, dia telah menyertai ekspedisi ke Gunung Qomolangma selaku ahli kakitangan bagi sokongan kajian saintifik. Di situ, dia telah berpeluang untuk merakamkan beberapa gambar glasier buat pertama kali dan secara perlahan-lahan telah mencambah rasa cinta mendalam untuk merakamkan keseluruhan panorama indah yang ada di dataran tinggi itu.
Li tidak pernah berasa gentar untuk berada di kawasan yang tinggi sehingga telah mendorong dirinya untuk melawat lapan puncak tertinggi di China bersama dengan kelengkapan kameranya untuk merakamkan segala detik terindah.
“Merentasi kawasan yang memiliki altitud tinggi setentunya memiliki risiko yang tersendiri kerana keretakan pada glasier dan salji runtuh boleh berlaku pada bila-bila masa serta mengancam nyawa,” jelas Li.
Detik penuh mencabar yang tidak dapat dilupakan oleh Li adalah sewaktu dia mendaki sebuah gunung di Wilayah Qinghai, China pada tahun 2010.
Dengan membawa bersama kelengkapan kamera yang agak berat di bahagian belakangnya setentunya menyukarkan tahap keseimbangan diri sehingga membuatkan dirinya tergelincir dan hampir terjatuh dari kawasan curam yang sangat tinggi itu.
“Ketika itu saya hanya mampu menutup mata dan menganggap ia adalah hari terakhir dalam riwayat kehidupan saya,” jelas Li.
Tatkala kakinya berada dalam keadaan tergantung itu, dia dengan berani telah berusaha untuk mengumpulkan semangat dalam dirinya untuk mensasarkan lompatan ke arah kawasan berbatu bagi menyelamatkan dirinya serta meneruskan kembaranya menuju ke kawasan puncak gunung.
“Pada puncak gunung itu, saya telah berpeluang untuk menyaksikan keindahan aliran sungai yang merentasi kawasan pergunungan tersebut sekaligus merasakan bahawa segala cabaran yang dilalui untuk mencapai ke kawasan tinggi itu cukup berbaloi,” jelas Li.
Li telah meluangkan dua pertiga daripada waktunya untuk berada di kawasan pergunungan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan telah berjaya menjejaki 14 puncak gunung di dunia iaitu melebihi dari 8,000 meter. Malah kisah kembaranya juga turut mendapat perhatian sehingga didokumentasikan ke dalam majalah pelancongan dan di media sosial.
Dia sering melakukan aktiviti pendakian secara persendirian dan tatkala terkandas berikutan daripada hujan yang tidak berhenti juga turut memaksa dirinya untuk bermalam di kawasan pendakiannya itu.
“Adakalanya aktiviti bermalam di dalam kembara itu berlaku secara tidak terancang kerana pada biasanya saya akan menyelesaikan aktiviti pendakian selama sehari,” jelas Li.
Dia telah melakukan kembara ke Tibet selama 100 kali sehingga ada glasier di kawasan tersebut yang dinamakan sempena nama dirinya. Di samping itu, dia juga turut berjaya melakukan aktiviti pendakian ke Gunung Qomolangma sebanyak 20 kali.
Untuk melapangkan dada dan fikirannya takala mengharungi detik mencabar dalam sesebuah kembara secara berseorangan, Li seringkali menyanyi, melakukan latihan penulisan kaligrafi dan bermain catur dengan dirinya sendiri.
“Melalui kembara ini saya berpeluang untuk melihat kesan perubahan iklim secara lebih dekat dan perbezaannya cukup ketara sekali dalam gambar-gambar glacier yang saya rakamkan kini dengan 10 tahun yang lalu,” jelas Li.
“Pada awalnya, aktiviti yang saya lakukan ini sangat ditentang oleh keluarga dan mula memberi sokongan setelah melihat gambar-gambar yang saya rakamkan,” jelasnya.
Dia juga pernah meninggalkan satu nota pesanan yang kedengaran agak sayu kepada anak perempuannya. Dalam nota tersebut berbunyi sekiranya dia tidak kembali dari kembara yang dilaluinya maka tidak perlu berusaha untuk mencarinya kerana dia telah kembali bersatu dengan alam semula jadi yang merujuk kepada maksud meninggal dunia.
Kembara selama bertahun-tahun di kawasan pergunungan secara tidak langsung menimbulkan rasa kesakitan di bahagian kaki dan lehernya namun tidak sedikit pun perkara tersebut melemahkan dirinya.
“Selagi lutut saya masih berfungsi dengan baik, selagi itu saya akan terus berusaha merentasi kembara dalam kehidupan saya,” jelas Li. – Xinhua