WELLINGTON, NEW ZEALAND – Para pelancong berduyun-duyun untuk pergi melancong ke New Zealand hanya kerana untuk melihat pemandangan hutannya yang menghijau, kolam lumpur yang berbuih dan gunung-ganang yang menawarkan fenomena yang begitu mengasyikkan dan menenangkan.
Namun apa yang menyedihkan, terdapat sesetengah pelancong yang tidak bertanggungjawab dan meninggalkan sampah mereka sekali gus mengancam serta merosakkan pengalaman pelancong yang lain.
Negara tersebut baru-baru ini telah melancarkan kempen baharu bagi memberikan kesedaran kepada para pelancong untuk membuang sampah mereka sendiri atau sekurang-kurangnya menjaga persekitaran yang mereka kunjungi.
Para pelancong yang menggunakan penerbangan kebangsaan negara itu, Air New Zealand akan berpeluang menyaksikan tayangan video yang berdurasi selama
dua minit, di mana memaparkan beberapa pemandangan negara itu yang sangat menakjubkan dan di dalam tayangan video itu turut mengingati para pelancong untuk sentiasa menjaga alam sekitar serta sama-sama bertanggungjawab untuk memelihara keindahannya.







Kempen kesedaran
Kempen baharu itu menggunakan konsep yang terkini dinamakan sebagai ‘Tiaki Janji’. Tiaki adalah perkataan Maori asli yang membawa maksud melindungi atau menjaga. Industri pelancongan di negara tersebut turut sama-sama mempromosikan kempen terbaharu itu.
“New Zealand adalah rumah kami, ia sangat berharga bagi kami. Setiap individu yang hidup dan menikmati keindahan di sini mempunyai tanggungjawab yang sama dengan kami untuk menjaga alam sekitar di sini,” menurut rakaman dalam tayangan tersebut sambil menambah, “Semasa melancong di New Zealand, ikutlah janji Tiaki.”
Pelancongan di negara itu telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pada tahun 2016, industri pelancongan di negara itu telah berjaya mengatasi industri tenusu di mana sebelum ini merupakan sumber pendapatan terbesar bagi ekonomi di New Zealand.
Industri pelancongan meningkat
Beberapa tahun yang lalu, kira-kira 3.8 juta pelancong telah berkunjung ke negara yang memiliki bilangan penduduk lebih kurang 4.794 juta. Kebanyakan pelancong datang dari Australia, China dan juga Amerika Syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif pelancongan New Zealand, Stephen England-Hall berkata bahawa tanpa bimbingan khusus, para pelancong akan terus melakukan kesalahan dan leka melakukan apa yang perlu mereka lakukan.
“Di beberapa buah tempat di dunia ini sudah terbiasa untuk mengelolakan pembuangan sampah di mana orang dibayar untuk mengutip dan mengambil sampah,” katanya. “Jika kita tidak berkata ‘Jangan membuang sampah’, orang lain akan membuangnya. Namun apabila musim pelancongan tiba, ia boleh menjadi satu masalah yang besar,” tambah Stephen kepada media AP.
Kekurangan kemudahan
Sesetengah penduduk New Zealand menjadi marah dengan peningkatan populariti ‘Freedom Camping’.
Perkhemahan ini menyebabkan pelancong sesuka hati untuk membina khemah dan tinggal di sebuah rumah di luar kawasan perkhemahan yang lebih menjimatkan wang. Kekurangan tandas dan tong sampah bermakna para pelancong ini pasti akan meninggalkan sampah sarap mereka di kawasan tersebut.
Stephan berkata bahawa kempen baharu ini tidak ditujukan secara khusus untuk perkhemahan bebas tetapi mereka cuba menghantar mesej yang lebih luas.
Dia berharap para pelancong akan dapat mencari maklumat mengenai ‘Janji Tiaki’ dalam Internet atau dimaklumkan di tempat-tempat terpilih seperti agensi kereta sewa.
‘Janji Tiaki’ juga meliputi perkara-perkara seperti menghormati budaya Maori, mempersiapkan diri untuk mendaki dan aktiviti luar yang lain serta mengingatkan pelancong untuk sentiasa memandu di sebelah kiri jalan. – AP