Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menimba pengalaman dan cetuskan inspirasi kemajuan belia

    Oleh Lenna N.B

     

    BELIA adalah bakal pemimpin dan penggerak kemajuan masa depan negara. Cogan kata ‘Belia harapan bangsa’ bukanlah sesuatu yang baru didengar tetapi begitu sinonim dikaitkan dengan belia, kerana pada mereka menjadi harapan untuk membentuk sebuah negara yang berjaya.

    Justeru itu, golongan belia adalah warga terpenting dalam negara, kerana mereka juga menjadi wakil yang mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

    Sekitar bulan Ogos lalu, seramai 10 wakil peserta belia Negara Brunei Darussalam telah berlepas ke Korea sempena Program Pertukaran Belia Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea.

    Antara tujuan utama penganjuran program itu adalah bagi memberikan peluang kepada peserta untuk menimba ilmu dan pengalaman tentang perkembangan belia di Korea terutamanya berkaitan dengan program-program belia, aktiviti-aktiviti belia, serta perkongsian mengenai perkembangan belia Brunei kepada golongan belia di Republik Korea iaitu merupakan sesi pertukaran ilmu, maklumat serta pengalaman.

    Program yang dianjurkan selama 10 hari itu telah dikelolakan oleh Kementerian Kesaksamaan Gender dan Keluarga (MOGEF) Negara Korea serta Perbadanan Kerja Pemuda Korea (KYWA) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), yang bermula dari 7 Ogos hingga 16 Ogos 2017 di Republik Korea.

    Delegasi Brunei bergambar bersama Pengarah Pusat Belia Pyeongchang, antara pusat belia yang terbesar di Republik Korea memuatkan hingga 700 belia dan mempunyai lebih daripada 100 program dalam masa setahun.
    Bersama belia-belia kulinari di Pusat Belia Gwanggyo.
    Lawatan muhibah ke Kementerian Kesaksamaan Gender dan Keluarga.
    Mencipta kenangan indah bersama keluarga di Korea.

    Baru-baru ini, Media Permata berkesempatan bertemu dengan Ketua Belia yang mewakili rombongan belia-belia Brunei bagi program tersebut, Awang Muhammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan, untuk berkongsi pengalaman mereka sepanjang program itu dilaksanakan.

    Ternyata banyak maklumat menarik mengenai aktiviti-aktiviti belia Republik Korea yang dapat diangkat dan menjadi contoh untuk melaksanakan program belia di negara ini, apatah lagi bagi memastikan golongan belia kita sentiasa maju ke hadapan dengan kemahiran mereka masing-masing dalam menyumbang bakti kepada negara.

    “Sepanjang menyertai program pertukaran belia itu, saya melihat betapa Republik Korea begitu menjaga belia-belia mereka, sehinggakan lebih 800 Pusat Belia telah dibangunkan khas untuk penempatan mereka.

    Di Pusat Belia itulah, menjadi lokasi belia-belia mereka belajar kemahiran, malah mempunyai khidmat kaunseling yang beroperasi 24 jam bagi membantu belia yang bermasalah.

    Di samping itu, banyak program-program dibentuk khas untuk mereka, bagi mengelakkan terjadinya masalah belia terbiar dan tercicir,” kata Awang Muhammad Nuriskandar memulakan cerita tentang pengalamannya di Republik Korea.

    Peluang mencetuskan idea segar

    Seramai 10 wakil peserta yang mengikuti program tersebut adalah terdiri daripada Haji Mohd Sofian bin Haji Amit selaku Ketua Rombongan, Wakil Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Muhammad Nuriskandar sendiri selaku Ketua Belia, Dayangku Nurul Amalina binti Pengiran Dahlan selaku Timbalan Ketua Belia, Dayang Khairunnisa binti Osman, Awang Muhammad Abdul Hakeem Julaihi, Awang Rahim Suany, Awang Muhd. Izzuddeen bin Haji Rahman, Dayang Nur Ezzati Atiqah binti Md. Suzaimi, Dayang Nur Nazurah binti Abu Hanifah dan Dayang Qurratul Ain Syukriyah Shamsul.

    Mereka terdiri daripada wakil persatuan-persatuaan belia dari keempat-empat daerah yang mempunyai pelbagai latar, pengalaman serta kemahiran.

    Pemilihan belia-belia ini adalah demi mencetuskan idea-idea segar berdasarkan daripada pengalaman mereka sepanjang menyertai program pertukaran belia tersebut.

    Melalui idea-idea mereka inilah, mewakili suara belia yang akan membawa perkembangan dan kemajuan kepada masa depan belia-belia kita.

    Berkesempatan untuk mengunjungi satu-satunya masjid di Korea, Masjid Itaewon.
    Rombongan belia ketika mengunjungi Eco-Friendly Energytown Hongcheon.
    Lawatan ke The National Museum of Korean Contemporary History yang membawa rombongan peserta untuk menelusuri sejarah Korea ke arah kemodenan.

    Mengunjungi tiga pusat belia

    Kunjungan paling penting rombongan program pertukaran belia ini adalah apabila belia-belia Brunei berpeluang untuk menyaksikan sendiri tiga buah Pusat Belia di Republik Korea. Pusat Belia yang terbesar iaitu Pusat Belia Pyeongchang, yang memuatkan hingga 700 belia dan menawarkan lebih daripada 100 program dalam masa setahun.

    Menurut Awang Nuriskandar, setiap program dibentuk sesuai dengan kemahiran belia sama ada di bidang kreatif, sukan, dan sebagainya.

    Malah, para belia juga dibekalkan dengan ilmu-ilmu pengakap selama tiga bulan. Di samping itu tempat tinggal juga disediakan secara percuma untuk para belia.

    “Menariknya program-program itu dibukakan untuk remaja dari usia seawal 12 tahun hinggalah 25 tahun. Di sini, kita dapat menyaksikan betapa belia-belia mereka dipersiapkan seawal remaja lagi sesuai dengan kemajuan Kerajaan Korea itu sendiri,” tambahnya.

    Pusat Belia yang kedua pula adalah Pusat Belia Wonju Joongang, yang lebih menumpukan kepada aktiviti kesenian seperti drama, seni tari, teater, seni lukis dan sebagainya. Di Pusat Belia tersebut, rombongan belia Brunei berkesempatan untuk ikut serta dalam aktiviti melukis di atas kipas Korea.

    Juga menarik adalah Pusat Belia Gwanggyo, menumpukan kepada kemahiran kulinari. Penerimaan belia yang masuk ke pusat tersebut adalah sangat terhad iaitu hanya 20 orang belia terbaik setelah mereka tamat belajar sekolah rendah.

    Jadual dan pemakanan mereka sangat-sangat dijaga, begitu juga dari segi pendidikan. Mereka dilatih untuk dilengkapi dengan sifat kepimpinan, berkemahiran, dan berdisiplin.

    “Setiap Pusat Belia yang kami kunjungi mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ia menjadi platform untuk para belia membina minat serta karier mereka.

    Pusat Belia yang dibina bukan sekadar untuk hiburan semata-mata tetapi membentuk kebolehan serta kemahiran mereka dari awal usia masuk ke zaman remaja,” jelas Awang Nuriskandar.

    Lokasi menarik sekitar Korea

    Di samping melawat ke pusat-pusat belia, antara aturcara program itu juga termasuk membawa delegasi belia Brunei untuk melawat ke lokasi-lokasi menarik sekitar Korea. Antaranya adalah MBC World iaitu pusat media Korea yang berperanan dalam menyiarkan berita di seluruh kawasan negara dengan kelengkapan teknologi terkini bertaraf dunia bagi memastikan warga Korea sentiasa bermaklumat dengan berita dunia terkini;

    Sesi ‘Program Homestay’ bersama ibu bapa angkat Korea.

    Menyaksikan pertunjukan Nanta iaitu sebuah persembahan teater muzikal yang menggunakan peralatan-peralatan dapur secara keseluruhannya untuk membentuk rentak dan muzik; melawat Kementerian Kesaksamaan Gender dan Keluarga yang turut mempunyai peranan besar kepada perkembangan belia merangkumi Polisi Aktiviti Belia, Polisi Kebajikan Belia dan Polisi Perlindungan Belia.

    Pusat ASEAN-Korea jelas memperlihatkan eratnya hubungan silaturahim di antara Republik Korea dengan negara-negara ASEAN sama ada dari segi ekonomi, perniagaan, keselamatan dan kebudayaan.

    Lawatan ke The National Museum of Korean Contemporary History memberi peluang kepada rombongan peserta untuk menelusuri sejarah Korea ke arah kemodenan; seterusnya mengunjungi Eco-Friendly Energy-town Hongcheon sebuah kilang yang menjadikan sisa sampah ke loji tenaga, memperbaharui dan kitar semula loji tenaga dan komuniti berdasarkan budaya pelancongan.

    Menghayati pemandangan flora dan fauna di Hutan Kebangsaan Hoengseong yang menawarkan perkhidmatan pendidikan perhutanan untuk belia; melawat satu-satunya masjid di Itaewon, Seoul; mengunjungi tapak ikon, Menara Namsan dan banyak lagi antara lokasi menarik yang sempat dikunjungi oleh peserta rombongan.

    Dalam program pertukaran belia ini, rombongan Brunei juga sempat untuk menyertai ‘Program Homestay’ di mana mereka tinggal bersama keluarga angkat selama semalam.

    Dalam program itu, mereka bukan sahaja merasai sendiri hidup berkeluarga tetapi juga di bawa ke tempat-tempat menarik di sekitar Korea, antaranya adalah menyaksikan konsert terbuka dan air terjun di Sungai Han, mengunjungi tempat bersejarah di Istana Gyeonggi, menyaksikan Makam Raja-Raja Korea terdahulu dan sebagainya.

    “Sejak mula kami melangkahkan kaki ke Republik Korea hinggalah ke hari terakhir, adalah pengalaman dan kenangan yang terbaik buat kami semua.

    Penghargaan sepenuhnya wajar diberikan kepada Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan kerana memilih kami untuk menyertai program ini.

    Pengalaman yang memang tidak dapat dilupakan, membawa kami memperkembangkan kemahiran dan daya pemikiran jauh lebih ke depan. Program pertukaran belia ini sememangnya telah membuka mata dan minda,” ucap Awang Nuriskandar di hujung temuramah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda