Meninggal dunia ketika memandu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku awal pagi hari ini di kawasan Lebuhraya Penanjong Kem hala ke Tutong.

Siasatan lanjut yang dijalankan ke atas mangsa mendapati punca kematian disebabkan serangan jantung dan meninggal dunia semasa memandu kereta.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah mengesahkan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 6:47 pagi.

Sejurus maklumat diterima, pihak polis berserta ahli paramedik segera ke tempat kejadian bagi pengesahan siasatan dan bantuan kecemasan.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong dan telah disahkan meninggalkan dunia.

Di kesempatan ini, PDB menasihati pada pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan sentiasa menitik beratkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di jalan raya.