Oleh Sim Y.H.
WAWASAN Brunei 2035 memberikan penekanan yang tinggi kepada transformasi negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.
Dalam hubungan itu, adalah amat penting bagi sistem pendidikan negara memberikan penekanan kepada membangunkan serta membentuk sumber tenaga manusia supaya mampu bersaing dan berdaya tahan dengan perubahan kehidupan Abad ke-21.
Dengan memberikan penekanan kepada pembangunan sumber manusia yang berdaya tahan itu, ia mampu untuk menyokong transformasi negara untuk bukan sahaja mempunyai ekonomi yang berdaya saing, dinamik, kompetitif dan mapan tetapi mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Baginda semasa Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam ke-30 pada 29 Ogos lalu, bahawa kejayaan yang diperoleh bukanlah titik noktah untuk para graduan berhenti daripada menimba ilmu kerana mereka masih mempunyai masa depan dan peluang yang luas untuk meningkatkan diri selaras dengan pasaran kerja global yang pesat berubah.
“Mengenai pasaran kerja yang pesat berubah ini perlu disedari bahawa kita kini sedang berada dalam era revolusi industri ke-empat di mana teknologi digital akan mengubah cara hidup kita dan juga cara bekerja,” titah Baginda yang juga Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD).
“Respons terhadap revolusi ini tentu sahaja melibatkan semua pihak yang berkepentingan, sama ada sektor awam, swasta malah seluruh masyarakat termasuk para akademik dan graduan untuk berganding bahu menggerakkan pembangunan negara melalui knowledge-based.”
Mengasah ilmu kemahiran
Sehubungan itu, Baginda berpendapat bahawa adalah elok bagi UBD dan institusi pengajian tinggi yang lain untuk memberikan tumpuan kepada pendidikan dan penyelidikan kemahiran abad ke-21 yang canggih.
“Maka sehubungan itu, Beta menyarankan kerjasama rapat dengan pihak industri untuk antara lain berkongsi pengetahuan praktikal mengenai trend industri dan pasaran kerja. Selain itu, sistem pendidikan juga perlu memberikan tumpuan kepada pembelajaran sepanjang hayat,” titah baginda.
Baginda juga gembira mengetahui bahawa UBD telah memperkembangkan program yang ditawarkan secara fleksibel daripada segi masa, tempat dan laluan pembelajaran selain berharap dengan pendidikan dan juga penyelidikan yang kukuh serta canggih, ia akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang berkesan.
“Menyentuh mengenai penyelidikan, ia adalah benih untuk pertumbuhan ekonomi. Beta difahamkan bahawa salah satu yang diberikan tumpuan oleh UBD ialah bidang Data Analisis, sebagai salah satu langkah positif ke arah inovasi dan pembangunan ekonomi.
“Sehubungan itu, Beta yakin UBD pasti turut terpanggil untuk mengkaji bidang-bidang tertentu, seperti bidang keselamatan siber yang masih banyak dipersoalkan dan lain-lain lagi,” titah Baginda lagi.
Berpandukan MIB
Baginda Sultan juga mengucapkan syabas atas mengkomersialkan paten UBD untuk julung-julung kalinya pada tahun ini.
“Beta difahamkan produk Smart Coating adalah hasil penyelidikan beberapa orang pelajar Sarjana dan Kedoktoran PhD dan sekarang mempunyai ejen jualan di Negara Brunei Darussalam, Jepun, Thailand dan Myanmar.
Beta berharap dengan kejayaan ini lebih ramai lagi pelajar kita yang akan terpanggil untuk melakukan kerja penyelidikan dan aktiviti komersial.”
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengucapkan tahniah kepada graduan yang telah berjaya dan berharap supaya setiap graduan akan terus memupuk sikap ingin maju serta berazam untuk sama-sama membangunkan negara ini.
“Selain itu, para graduan juga jangan lupa untuk berpegang kuat kepada falsafah MIB selaku sistem kerana MIB telah pun terbukti membawa kebaikan kepada semua semenjak lebih daripada 600 tahun lagi,” titah Baginda.