Oleh Hamdini HAK
SEKOLAH Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Serasa baru-baru ini telah menganjurkan bengkel motivasi bagi pelajar-pelajar Tahun 11 yang mana tidak lama lagi akan menduduki peperiksaan ‘O’ Level pada hujung bulan Oktober ini nanti. Bengkel ini diadakan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan lagi minat para pelajar bagi mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan GCE ‘O’ Level yang akan datang.
Sekolah terpilih
SMPIHM merupakan sekolah yang dipilih untuk melaksanakan bengkel motivasi setelah dikenal pasti tersenarai dalam kawasan kuning dalam keputusan GCE O level yang lalu. Penuntut BruLeics dengan sukarela mengadakan sesi kongsi sama pengalaman dan cara-cara penyediaan peperiksaan dari pelbagai aspek yang dapat mencapai pencapaian akademik termasuk dari segi rohani, pemakanan dan corak tidur pelajar sendiri.
Seramai 27 penuntut biasiswa dari United Kingdom yang pada masa ini dalam cuti musim panas yang terlibat dalam memudah cara bengkel tersebut yang berlangsung di dewan sekolah SMPIHM, Serasa. Bengkel motivasi telah dimulai dengan kata alu-aluan daripada pengetua sekolah, Dayang Joana Lim Kok Hon sebelum sesi motivasi, panduan peperiksaan, permainan serta sesi soal-jawab diadakan.
Seramai 155 orang penuntut terlibat, terdiri daripada tahun 11Sc, 11A, B, C, D dan E mengikuti sesi motivasi tersebut. Antara objektif program ini ialah untuk menjadikan sebagai platform penuntut menjadi belia yang berwawasan dan berkeyakinan demi mencapai wawasan Brunei 2035. Bengkel berakhir dengan sesi penyampaian sijil kepada kesemua pemudah acara dan sesi bergambar ramai.