PINGYAO – Ratusan orang membanjiri kawasan bandar purba di utara China pada musim sejuk ini untuk mengambil peluang bagi menyaksikan sebuah pementasan teater yang mengisahkan jalan cerita yang cukup menarik.
Kelihatan lapan orang wanita menggayakan baju tradisi menari di samping pasangan lelaki yang kelihatan cukup segak dan gagah perkasa.
Bagaimanapun, ramai penonton berasa terkejut dengan aksi berani dari kumpulan penari wanita itu yang secara tiba-tiba menggigit bahagian lengan lelaki tersebut.
“Bekas gigitan menjadi lambang cinta dan ia dipercayai dapat bertahan walaupun terkorban ketika berhadapan dengan risiko mahupun ancaman,” jelas narator kepada para penonton.
Justeru, teater berjudul Another Glance at Pingyao ini jelas memperlihatkan mengenai bagaimana pengarahnya, Wang Chaoge cuba untuk menginterpretasikan cinta seorang wanita kepada kekasihnya yang bertugas selaku tentera sewaktu era Dinasti Qing.


Pementasan teater ini merupakan sebahagian daripada siri persembahan teater yang dihasilkan oleh pengarah tempatan di mana pada kebiasaannya ia sering diadakan di Tapak Warisan Dunia UNESCO untuk mengenang kembali sejarah dan budaya tradisi.
Antara lain, persembahan teater ini juga menjadi perlambangan kepada kebangkitan semula artistik di kawasan bandar-bandar bersejarah ini.
“Saya sangat kagum dengan semangat cinta, integriti dan ketulusan hati sehingga ramai juga yang tersentuh hati dengan persembahan yang ditonjolkan,” jelas salah seorang penonton.
Kejayaan hasil persembahan teater ini telah berjaya mengumpulkan keuntungan sebanyak AS$15 juta bagi tahun ini di mana ramai pelancong telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi Pingyao di Wilayah Shanxi bagi menyaksikan sendiri sejarah, budaya dan tradisi China itu secara lebih dekat.
Bandar raya bersejarah
Bandar raya Pingyao dipercayai telah wujud pada abad ke-14 dan turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1997 di mana ia dijadikan sebagai contoh kepada seni bina tradisi China yang kekal terpelihara sehingga kini.
Malah pada abad ke-19 bandar raya itu juga pernah dijadikan sebagai pusat perkembangan kewangan China. Bank semakin berkembang pada abad tersebut berikutan kedatangan pedagang Shanxi yang turut bertanggungjawab dalam mengembangkan perniagaan di seluruh negara itu.
“Pada era kegemilangannya, sebanyak 22 pusat bank pernah beroperasi di Pingyao dan ia menguasai hampir separuh daripada sistem kewangan di negara ini,” jelas Gao Chunping yang merupakan salah seorang penyelidik di Akademi Sains Sosial Shanxi.
Kini, semakin ramai pelancong yang berminat untuk mengunjungi muzium bank yang merupakan peninggalan peninggalan bank pertama di China, Rishengchang yang ditubuhkan pada tahun 1823.
“Ramai berasa kagum dengan kod keselamatan pada nombor pin yang direncana dari karakter dan nombor Cina di mana setentunya langkah bijak bagi menghindarkan kes kecurian dan penipuan,” jelas Gao Xianhui yang merupakan salah seorang pemandu pelancong di kawasan itu.

Bagaimanapun, detik kegemilangan Pingyao ternyata tidak bertahan selamanya kerana sistem perbankan di kawasan itu juga semakin menurun pada awal abad ke-20 berikutan era kejatuhan kerajaan Qing dan bank asing yang dilengkapi dengan kemajuan teknologi pula mula mendominasi dunia.
Susulan kemerosotan ekonomi di bandar tersebut secara tidak langsung turut membuatkan para pelancong agak sukar untuk mencari mesin ATM di bekas pusat bank itu.
Secara berperingkat-peringkat, kemajuan dapat kembali disaksikan di bandar ini di mana kini ia dipenuhi dengan kedai cenderahati, restoran, muzium dan pelbagai persembahan teater yang menarik.
Di samping itu, seni rakyat yang diwarisi selama berabad lamanya seperti seni cetakan kayu, pemotongan kertas, seni pembuatan tembikar dan persembahan seni bertopeng juga giat dianjurkan di bandar lama tersebut.
Hou Quanying, 68, seorang pengusaha seni pemotongan kertas turut menjelaskan bahawa studionya kini juga menjadi tumpuan para pelancong dan mereka juga menghargai karya seni yang ditampilkan.
Timbalan Ketua Kerajaan Daerah, Liu Guangming menjelaskan bahawa budaya memang cukup sebati dengan bandar Pingyao.
“Kegemilangan bandar purba ini hanya boleh dibangkitkan semula sekiranya pihak pentadbir tetap menonjolkan aspek kekayaan budaya dan tradisi kawasan tersebut,” jelas Liu.
Dalam kemeriahan menyambut festival filem dan fotografi tahunan serta perayaan Tahun Baru Cina, pihak kerajaan juga telah merancang pelbagai perkara menarik seperti festival seni ukiran dengan kerjasama organisasi dari Eropah.
Liu turut menjelaskan bahawa dengan penganjuran festival itu sedikit sebanyak akan menonjolkan lagi kuil Shuanglin yang menempatkan beberapa contoh terbaik ukiran patung Buddha sehingga ada di antara koleksi tersimpan adalah hasil karya pada kurun ke-12.
“Memelihara sejarah merupakan satu perkara yang cukup penting untuk diperkenalkan kepada generasi masa hadapan,” jelas Liu dalam memetik slogan yang tertera di pintu masuk bangunan kerajaan. – Xinhua