Menipu sifat yang keji

Oleh Syahmi Hassan, Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Program Keagamaan Senegara Persekolahan Agama dan Arab bagi Bulan Jun 2019M/1440H telah diadakan hari ini di keempat-empat daerah dengan tema ‘Bahaya Perbuatan Menipu’.

Di Daerah Brunei dan Muara, pusat tumpuan media adalah di Sekolah Ugama Berakas Garison; Daerah Belait di Sekolah Ugama Perdana Wazir di mana lebih 81 orang murid menghadirinya; Daerah Tutong di Sekolah Ugama Kiudang; dan Daerah Temburong di Sekolah Ugama Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

Program telah diisikan dengan solat Sunat Hajat berjemaah, membaca Sayyidatul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, membaca Doa Peperiksaan, tazkirah bertajuk ‘Bahaya Perbuatan Menipu’ dan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Salah seorang guru Sekolah Ugama Berakas Garison, Awang Azemy bin Haji Mustapa dalam tazkirahnya telah menekankan mengenai menipu merupakan sifat keji yang dicela oleh agama.

Dengan melakukan penipuan maka ia tidak amanah dan bertanggungjawab. Menurutnya, menipu termasuk dalam salah satu sifat mazmumah yang tidak menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan Allah SWT kepadanya.

Menurut Awang Azemy, terdapat tiga ciri orang munafik iaitu apabila ia berkata ia berdusta, apabila berjanji ia selalu ingkar dan apabila diberi amanat ia khianat.

Ketiga-tiga ciri orang munafik tersebut sangat merbahaya dan sangat berat hukumnya terutama di hadapan Allah SWT.

Beliau juga menekankan supaya sentiasa memelihara lidah daripada maksiat seperti dipelihara daripada menipu atau berdusta, mungkir janji dan sebagainya kerana perbuatan tersebut dilarang dalam Islam dan sangat buruk akibatnya bukan sahaja pada diri sendiri tetapi juga kepada rakan, keluarga dan masyarakat sesama Islam.

Program Keagamaan Senegara itu terdahulu pada sebelah pagi telah dimulakan seawal jam 8 pagi di semua persekolahan agama dan Arab dan diteruskan bagi persekolahan agama sesi petang pada jam 2 petang.

Awang Azemy semasa menyampaikan tazkirahnya.
Murid-murid Sekolah Ugama Berakas Garison semasa membaca Sayyidul Istighfar.
Para pelajar sedang mengerjakan solat Sunat Hajat.