Menitip kesedaran terhadap nilai wanita

Oleh Sim Y. H.

Gambar serahan Project Women Brunei

Ungkapan menarik sebuah iklan terkenal, ‘kerana diriku (wanita) begitu berharga’ ternyata bukan sahaja menunjukkan wanita di seluruh dunia tidak kira sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun warga emas perlu disokong dan dihargai, malahan perlu dilindungi serta disayangi.

Namun akses kepada teknologi canggih dan perubahan pesat global ada kalanya menyukarkan perlindungan ke atas wanita dan perempuan di seluruh dunia daripada mata-mata orang yang cuba mengambil kesempatan ke atas mereka.

Sehubungan itu, sempena Hari Antarabangsa Orang Asli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Hari Menentang Pemerdagangan Orang Sedunia, usaha mempertingkatkan kesedaran mengenai eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak perempuan diadakan di Rumah Panjang Teraja dan Mendaram Besar baru-baru ini.

Acara dianjurkan bersama Biro Wanita Rumah Panjang Teraja dan Rumah Panjang Mendaram Besar serta Project Women Brunei itu mendapat sokongan padu daripada Weaving Women’s Voices, disertai 58 orang daripada biro wanita kedua-dua rumah panjang tersebut, komuniti tempatan serta sukarelawan dari Project Women Brunei.

Ketua Biro Wanita Rumah Panjang Teraja, Embong Anak Munah mengalu-alukan aktiviti yang dilaksanakan di sana, merangkumi dialog komuniti me-ngenai penderaan seksual kanak-kanak dan eksploitasi terhadap wanita dan perempuan. Ia penting agar mereka yang menyertai aktiviti dapat mengetahui bagaimana sindiket di seluruh dunia beroperasi dan memberikan peluang kepada mereka untuk mempelajari cara untuk melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa pemerdagangan seks kanak-kanak, pornografi kanak-kanak atas talian dan keganasan seksual kanak-kanak.

Ahli Biro Wanita Rumah Panjang Teraja dan Mendaram Besar bergambar ramai dengan sukarelawan daripada Project Women Brunei semasa dialog komuniti Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak dan Eksploitasi baru-baru ini.
Dayang Nur Judy (tengah) bersama-sama ahli Kumpulan Bugtaw dan belia rumah panjang berkenaan.
Sesi perbincangan berkumpulan semasa dialog interaktif yang diadakan.

Semasa taklimat, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Project Women Brunei, Dayang Nur Judy binti Abdullah mengetengahkan pentingnya untuk melindungi kanak-kanak daripada segala jenis eksploitasi, penderaan, keganasan dan pengabaian, iaitu hak asasi yang dijamin oleh Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Negara Brunei Darussalam telah menjadi sebuah negara yang menandatangani CRC pada 1996 dan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga kebajikan kanak-kanak serta melindungi mereka.

Dayang Nur Judy menambah bahawa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu sebahagian daripada Agenda Pembangunan Global 2030 PBB, meliputi beberapa matlamat yang relevan kepada isu-isu perlindungan kanak-kanak.

Khususnya, jelas beliau, menghentikan semua jenis keganasan yang akan membantu untuk memastikan mereka sihat, selamat dan terlindung serta membolehkan mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Komuniti Rumah Panjang Mendaram Besar dan Teraja yang terletak di kawasan pedalaman Labi, Daerah Belait telah menonjolkan budaya dan tradisi mereka menerusi aktiviti pelancongan di mana pada 2017, sebanyak 4,000 pelancong telah melawat tempat tersebut.

Dengan akses bagi pelancong, komuniti orang asli perlu sedar bagaimana untuk melindungi anak-anak mereka daripada apa jua jenis penderaan seksual dan keganasan serta bagi membimbing mereka bagaimana untuk mengakses keadilan apabila terjadi pencabulan hak-hak mereka.

Sementara itu, semasa dialog interaktif dalam kalangan wanita pada sesi yang dipermudahkan oleh sukarelawan Project Women Brunei, ia menumpukan perkongsian pandangan mengenai penderaan seksual kanak-kanak dan eksploitasi serta hak dan tanggungjawab dalam mencegah serta melindungi diri mereka.

Semasa acara itu, Pengasas Bersama RespectME.bn, Hajah Nurun binti Haji Yunus mengetuai kumpulan dengan berkongsi kisah gangguan seksual dan penderaan yang dialami oleh perempuan muda di Negara Brunei Darussalam.

Manakala itu, Kumpulan Breakthe-silence.bn, iaitu sebuah pergerakan sosial yang diasaskan oleh sekumpulan pelajar-pelajar Universiti Brunei Darussalam turut memberikan taklimat mengenai memahami keganasan domestik menerusi tayangan filem pendek yang menunjukkan wanita muda yang terselamat bercakap mengenai pengalaman mereka. Pada masa yang sama, risalah turut diagihkan kepada wanita berkenaan bagi rujukan serta bacaan mereka.

Komuniti rumah panjang berkenaan turut mengetengahkan tradisi mereka menerusi tarian Ngajat dan nyanyian lagu oleh Belia Bugtaw sebagai pertukaran kebudayaan. Kumpulan Bugtaw juga menyumbangkan buku-buku terpakai kepada perempuan bagi menggalakkan mereka untuk membaca.

Ketua Biro Wanita Rumah Panjang Mendaram Besar, Hensona anak Munah dalam kata-kata penutupnya melahirkan penghargaan kepada sukarelawan Project Women Brunei serta menggalakkan wanita di sana untuk berwaspada, melindungi diri dan anak-anak daripada segala jenis keganasan dan segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa jika mengesyaki berlaku kes seumpamanya.