Oleh Sim Y.H
Gambar oleh Muiz Matdani
NEGARA Brunei Darussalam terus mengorak langkah dan melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah pencapaian Wawasan 2035 dengan memberikan penekanan kepada menjana transformasi negara supaya akan dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi selaras dengan standard antarabangsa, mempunyai kualiti kehidupan di antara 10 buah negara teratas di dunia serta mempunyai ekonomi yang dinamik dan mapan.
Oleh itu, salah satu strategi yang dikenal pasti untuk mencapai matlamat Wawasan 2035 ialah pelaksanaan strategi ekonomi yang akan menjana pekerjaan yang baru untuk rakyat dan penduduk negara serta mengembangkan peluang-peluang perniagaan di dalam Brunei dengan mempromosikan pelaburan luar dan domestik di dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.
Semenjak 2010, sebanyak enam buah syarikat pelaburan langsung asing (FDI) telah pun beroperasi di Negara Brunei Darussalam, iaitu Syarikat Amann Shipping, Syarikat Brunei Methanol, Syarikat CAE Multi Purpose Training Centre, Syarikat Gold Coin, SBI Islamic Fund dan Syarikat Simpor Pharma di mana pihak kerajaan merupakan pemegang saham kepada Syarikat Brunei Metanol Company melalui Syarikat PetroleumBRUNEI dan Syarikat Amann Shipping, Syarikat CAE, SBI Islamic Fund dan Syarikat Simpor Pharma melalui Strategic Development Capital, Kementerian Kewangan.
Syarikat Amann, Syarikat CAE, SBI Islamic Funda dan Syarikat Simpor Pharma adalah syarikat yang dibawa oleh Strategic Development Capital ke Negara Brunei Darussalam.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar, ketika menjelaskan mengenai isu pelaburan langsung asing (FDI) yang dikemukakan semasa Majlis Mesyuarat Negara pada Mac lalu.


Lebih banyak peluang
Ketika memberikan penjelasannya di Majlis Mesyuarat Negara itu, Yang Berhormat Pehin mendedahkan bahawa syarikat-syarikat berkenaan telah menjana jumlah pelaburan secara keseluruhan sebanyak $1.15 bilion dan telah menghasilkan sebanyak 346 peluang pekerjaan tempatan.
Sehingga penghujung 2015, ulasnya lagi, enam buah syarikat FDI berkenaan telah menjana pendapatan sebanyak $178 juta.
Mengulas mengenai kajian khusus mengenai sambutan pelabur asing, Yang Berhormat Pehin mengakui bahawa setakat ini beluam ada kajian khusus mengenai FDI telah dilaksanakan, namun begitu, Jawatankuasa Pelaburan Langsung Asing dan Industri Hiliran telah pun memulakan kajian untuk mengenal pasti kaedah-kaedah yang efektif dalam penyediaan platform yang telus dan memperkemas untuk FDI.
Manakala itu, mengulas mengenai peluang bagi pengusaha tempatan untuk bekerjasama dengan syarikat FDI, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa setakat ini, belum banyak pengusaha tempatan diberi peluang bekerjasama dengan syarikat FDI.
“Daripada 6 syarikat pelabur langsung asing tersebut di atas, Gold Coin Sdn Bhd dan Simpor Pharma Sdn Bhd mempunyai penyertaan usaha sama daripada peniaga-peniaga tempatan.”
“Pihak kerajaan akan memastikan setiap FDI yang melabur di negara akan menjana perusahaan-perusahaan sampingan kepada pengusaha-pengusaha SME tempatan Brunei, mewujudkan peluang pekerjaan anak-anak tempatan dan terutama sekali meningkatkan hasil pendapatan negara.”
Manakala itu, menyentuh mengenai butir-butir yang disyaratkan bagi pelabur langsung asing yang ingin melabur di Brunei, pada umumnya, jelas Yang Berhormat Pehin adalah pengecualian cukai yang diperuntukkan oleh kerajaan melalui insentif pelaburan di bawah Investment Incentives Order 2001.
“Pihak kerajaan juga telah menyediakan beberapa insentif cukai seperti rebat cukai atau cukai kredit bagi syarikat-syarikat yang mengambil anak tempatan untuk bekerja di syarikat-syarikat mereka.”
“Tarif keutamaan seperti harga sewa tanah, air dan tenaga (elektrik), perkongsian pelaburan yang disediakan oleh kerajaan melalui Dana Strategic Development Capital (SDC), Kementerian Kewangan dan pekerja mahir yang mempunyai kelayakan yang khusus dan bersesuaian di dalam bidang yang relevan.”
“Kerjasama bersama National Manpower Planning Council adalah penting di sini untuk memastikan kemahiran pekerja-pekerja adalah tepat bagi pekerjaan yang dikehendaki oleh peniaga pelabur langsung asing.”