Menjernihkan semula perhubungan

Syawal yang diraikan ketika ini cukup bermakna buat bintang rock, Amy Search, 60, apabila hubungan dengan anak perempuannya, Nabila Huda, kembali jernih.

Hubungan yang pernah dingin itu dilihat kembali mesra menerusi video dimuat naik pelakon dan pengarah, Erma Fatima, di laman Instagramnya, beberapa hari lalu. Ia turut dikongsi semula oleh Nabila di laman sosialnya. Menurut Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, Erma dan isterinya, Norhasniza Hassan atau Nourish, menjadi orang penting dalam usaha menjernihkan semula hubungannya dengan Nabila, 34.

Menceritakan kembali detik pertemuan terbabit, penyanyi Isabella itu mengaku tidak tahu mengenai rancangan Erma dan isterinya.

“Saya harus memuji usaha Erma dan isteri. Saya juga amat bersyukur dengan usaha dilakukan mereka. Saya rasa, jika bukan kerana semua ini, mungkin saya dan Nabila akan terus membawa haluan sendiri.

“Erma pada awalnya datang nak beraya di rumah dan saya memang tidak dapat menghidu pakatan mereka. Hanya selepas dua jam kami rancak berborak, Nabila, suami dan anaknya menyusul.

“Pada masa sama, isteri sudah meminta anak saya yang lain keluar menonton wayang. Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik,” katanya.

Mengenai dakwaan kononnya Nourish antara punca yang menjarakkan lagi hubungannya dengan Nabila, Amy menafikan perkara terbabit.

Amy turut merancang majlis kejutan hari lahir untuk Nourish, bersama Nabila, selepas pertemuan berkenaan. Ia disambut beberapa hari selepas tarikh sebenar kelahiran isterinya, iaitu 15 Jun. – Agensi

Amy Search menyatakan sewaktu bersua semula dengan Nabila Huda, mereka saling berpandangan serta ketawa mengenangkan perangai masing-masing. – Agensi