Menjunjung raja dikasihi

Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

TEMBURONG, 22 JULAI – Ribuan penduduk Daerah Temburong keluar dan berkumpul dari awal pagi lagi dengan penuh semangat perpaduan kerana ingin menjunjung keberangkatan, menyembahkan ucapan menjunjung kasih serta taat setia kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini, hari ini.

Berangkat bersama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong adalah yang kedua setelah Daerah Belait, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73 tahun bagi majlis junjung ziarah bersama-sama rakyat.

Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja ke pentas diraja dialu-alukan dengan pukulan hadrah serta dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong serta Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman.

Sebaik keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja ke pentas diraja lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dimainkan yang diikuti dengan laungan “Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ oleh para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ketua-ketua cawangan, ahli-ahli jawatankuasa dan masyarakat Daerah Temburong disertai dengan sekalian yang hadir.

Acara diteruskan dengan sembah kesyukuran dan taat setia oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, yang menyembahkan bahawa seluruh rakyat dan penduduk Daerah Temburong menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas perkenan Baginda Sultan bercemar duli dengan rakyat dan penduduk Daerah Temburong dan keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli ke daerah ini merupakan satu saat yang sangat-sangat dinanti-nantikan oleh keseluruhan rakyat serta penduduk Daerah Temburong.

Beliau menyembahkan lagi bahawa ia merupakan peluang keemasan yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk Daerah Temburong bagi menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang mendalam terhadap seorang raja yang berjiwa rakyat, sangat prihatin dan pemedulian.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung menyaksikan persembahan padang khas bertemakan ‘Raja Bertakwa, Negara Sejahtera’ oleh kumpulan belia remaja yang ceria, bertenaga dan penuh warna-warni yang mengandungi tiga segmen serta melibatkan penyertaan pasukan beruniform. Seterusnya, Baginda Sultan berserta kerabat diraja dijunjung berangkat menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Temburong.

Majlis tersebut merupakan salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk daerah ini sebagai peluang untuk beramah mesra dengan raja dan pemimpin yang amat dikasihi.

Majlis itu bukan sahaja menarik perhatian penduduk di sini namun pengunjung luar negara termasuk negara jiran yang tidak melepaskan peluang menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan yang disanjung tinggi dan dihormati segenap lapisan masyarakat.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama peserta persembahan padang.
Baginda Sultan berkenan menandatangani lukisan daripada peserta yang membuat persembahan.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah yang berlangsung di Daerah Temburong. – Gambar Infofoto
Baginda Sultan dijunjung memotong Kek Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-73 Tahun.
Baginda Sultan bersama paduka-paduka anakanda berkenan dijunjung berangkat bagi junjung ziarah dan beramah mesra bersama penduduk di Daerah Temburong.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menerima junjung ziarah. – Gambar oleh Infofoto
DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir berkenan dijunjung berangkat bagi junjung ziarah dan beramah mesra bersama penduduk di Daerah Temburong.
DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama penduduk di Daerah Temburong. – Gambar oleh Infofoto

Antara peserta yang mengikuti persembahan padang pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong.