Mensyukuri kepimpinan raja

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Kunci untuk kekal merasa nikmat keamanan, kedamaian, kesejahteraan dan perpaduan yang dikurniakan oleh Allah itu adalah dengan menzahirkan rasa syukur kepadaNya sama ada melalui hati, lisan atau perbuatan.

Sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang merdeka lagi berdaulat ini, kita bersyukur kerana rakyat negara ini telah mengamalkan cara hidup yang berlandaskan konsep Melayu Islam Beraja. Ini yang membawa erti Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu yang mengamalkan cara hidup dengan nilai luhur, kebudayaan Melayu yang sentiasa bersuluhkan dan berpandukan ajaran Islam.

Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Kepimpinan Raja Memperkukuh Asas dan Dasar Islam’ menjelaskan perkara ini dan seterusnya menambah, raja pula menjadi ketua atau kepala negara yang memegang tampuk pemerintahan tertinggi negara, kedudukannya inilah yang mesti dihormati dan ditaati. Rakyat dan penduduk negara ini, jelas khatib, amat bertuah kerana dikurniakan seorang sultan atau raja iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

“Baginda adalah seorang raja dan pemimpin yang sangat disanjungi oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini selain Baginda juga adalah seorang raja dan pemimpin yang sentiasa berusaha dalam penyediaan segala kemudahan kepada rakyat dan penduduk di negara ini supaya taraf hidup sentiasa dalam keadaan baik dan selesa,” tambahnya.

Khatib seterusnya menjelaskan, Baginda adalah seorang raja yang pemedulian dan berjiwa rakyat di mana ini terbukti apabila Baginda berkenan berangkat bercemar duli turun padang mengadakan lawatan yang tidak berjadual yang sering Baginda lakukan demi kepentingan, kebajikan, kemaslahatan dan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk Baginda.

Berkat kepimpinan serta daulat Baginda, jelas khatib lagi, negara telah dikenali sebagai sebuah negara Islam yang aman makmur, indah permai, moden lagi bertamadun.

Rakyat dan penduduknya sentiasa hidup bersatu padu, bersatu hati, bahagia dan harmoni yang mana semua ini dapat dicapai dengan kudrat, iradat dan dengan izin Allah yang mengilhamkan raja kita, yang pemedulian, sentiasa mengukuhkan dan memantapkan asas dan dasar Islam di bumi Darussalam ini.

Dengan izin Allah juga, ujar khatib, sumber kekuatan, kemantapan dan keteguhan beragama dan syiar Islam di negara bertuah ini adalah hasil daripada kepimpinan raja yang tidak kendur-kendur berusaha memastikan dan melaksanakan pemerintah negara berasaskan undang-undang yang adil sehingga tiada sesiapa pun teraniaya kerana setiap hak individu itu adalah terjaga, terpelihara, dihormati dan ditunaikan.

“Inilah maqasid syariah yang memberi keutamaan kepada lima perkara penting dalam kepimpinan Islam iaitu memelihara agama, nyawa, harta benda, akal dan keturunan,” tegasnya.

“Sebagaimana yang kita maklum, 15 Julai adalah tarikh bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam kerana pada tarikh inilah raja kita diputerakan dengan setiap tahun diadakan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Baginda.

Sebagai rakyat dan penduduk yang taat setia dan prihatin terhadap rajanya, marilah sama-sama meraikan Hari Keputeraan Raja yang kita kasihi dan sanjungi dengan penuh kesyukuran ke hadrat Allah.