Wednesday, February 1, 2023
23.8 C
Brunei

-

Mensyukuri nikmat hidup fasa baharu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Rakyat di negara ini dinasihatkan mensyukuri nikmat kehidupan fasa norma baharu daripada COVID yang dilalui kini, namun dalam masa yang sama, hendaklah meningkatkan langkah-langkah pencegahan penularan jangkitan wabak tersebut.

Ini kerana dengan hanya izinNya sahaja Brunei agak bebas daripada COVID ketika negara-negara lain di dunia masih diancam wabak tersebut.

Sehubungan itu, rakyat masih perlu mematuhi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh agensi-agensi berkenaan.

Perkara itu adalah antara yang ditekankan dalam tazkirah bertajuk ‘Syukur Nikmat, Hidup Berkat’ disampaikan oleh Pegawai Agama, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Pengiran Haji Mohammad Norhadi bin Pengiran Haji Bongsu dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Menurut Pengiran Haji Mohammad Norhadi yang menyampaikan tazkirah dari surau sekolah tersebut, selain peningkatan langkah pencegahan, umat Islam di negara ini juga dituntut untuk sentiasa istiqamah memohon kepada Allah SWT melalui doa, munajat dan berzikir sebagai tanda syukur atas nikmat keamanan dan kesejahteraan dalam kehidupan fasa norma baharu COVID di negara ini.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama tetamu dan peserta semasa Malam Munajat anjuran KHEU baru-baru ini. – Gambar oleh KHEU

Dengan mensyukuri nikmat kehidupan dalam fasa ini, Allah akan sentiasa mengurniakan rahmat dan berkat dalam kehidupan serta memelihara Brunei Darussalam daripada ancaman wabak COVID, tambahnya.

Malam Munajat anjuran KHEU telah mengundang tetamu khas, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri dari Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai, Tutong.

Hadir sama pada Malam Munajat secara maya itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Ia turut disertai ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai; belia IMPAK Penggerak Belia Tutong, Belia ‘Ibadurrahman dan Belia Kampung Sengkarai; para pegawai, guru dan pelajar-pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; serta guru-guru dan pelajar-pelajar Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan IBTE, Kampus Nakhoda Ragam.

Acara malam tadi juga dimeriahkan oleh para jemaah daripada 95 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh negara, serta warga KHEU berserta keluarga dari kediaman masing-masing.

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, Surah Yasin dibacakan beramai-ramai diikuti Doa Munajat dan diakhiri dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hampir 50 maut dalam insiden letupan masjid

PESHAWAR, PAKISTAN, 30 JAN – Pegawai polis antara kira-kira 47 orang terbunuh dan 150 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah masjid di dalam...
- Advertisment -