Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mental yang sihat perlu dalam menghadapi cabaran hidup

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Kesihatan mental bukan saja mengenai penyakit mental tetapi semua orang memerlukan mental yang sihat merangkumi perasaan gembira dan sejahtera serta berupaya menghadapi pelbagai cabaran hidup dan mempunyai sikap positif terhadap diri sendiri.

    Ini ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menyampaikan ucapan perasmian Kempen Kesedaran Hari Kesihatan Mental Sedunia di Sekolah Penerbangan Institut Pendidikan Teknikal Brunei
    (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, kelmarin.

    Dalam ucapannya itu, beliau mengongsikan data terkini Kementerian Kesihatan di mana 7,000 orang mengalami penyakit mental yang mana Perkhidmatan Psikiatri di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha telah mencatatkan 40 kes baharu bagi pesakit dewasa setiap bulan.

    Manakala itu, Perkhidmatan Psikiatri bagi kanak-kanak dan remaja pula telah mendaftarkan hampir 100 kes baharu dari Januari hingga September tahun ini dan Perkhidmatan Psikologi pula menemukan antara 400 dan 600 kes setiap bulan.

    “Tidak dinafikan bahawa statistik ini amat membimbangkan dan mencabar tapi kita boleh melakukan lebih banyak dan lebih baik,” ujarnya.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menyampaikan ucapan perasmian Kempen Kesedaran Hari Kesihatan Mental Sedunia.

    Beliau seterusnya menambah, Brunei amat bertuah kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dan terus mengambil langkah-langkah proaktif untuk menangani cabaran berkenaan.

    Ini antara lain, kerjasama Whole of nation seperti Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Pasukan Polis Diraja Brunei yang telah menghasilkan intervensi secara konsisten.

    Selaras dengan tema Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini, Kesihatan Mental untuk Semua. Tingkatkan Pelaburan, Tingkatkan Akses, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyeru semua pihak, kerajaan dan bukan kerajaan untuk sama-sama melihat bahawa kesihatan mental dan menanganinya adalah komitmen bersama khususnya dalam mengubah mindset dan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan dari
    peringkat awal.

    “Kita juga perlu berwaspada bahawa pada masa ini sedang dalam situasi pandemik yang telah mendatangkan impak signifikan dan setentunya boleh menjejaskan kesihatan mental,”
    tambahnya.

    Beliau menambah, antara beberapa amalan terbaik yang dapat diperhatikan di negara-negara lain di ASEAN adalah peningkatan perkhidmatan kaunseling serta sokongan psikologi dan emosi, melalui talian-talian yang beroperasi 24 jam.

    Di peringkat lebih besar, penekanan berterusan perlu diberikan kepada mempromosikan kesihatan mental sepanjang hayat bermula dari peringkat kanak-kanak lagi melalui program
    intervensi awal kanak-kanak dan program perkembangan kanak-kanak dan remaja, ini adalah untuk mencegah Ia berlaku ketika peringkat dewasa dan warga tua.

    “Kita akan terus komited untuk menyediakan lebih banyak platform secara whole of nation bagi mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai kesihatan mental supaya masyarakat akan lebih peka.

    “Apa yang penting adalah memberikan sokongan padu kepada individu penghidap penyakit mental di mana mencegah lebih baik daripada mengubati,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda