Menteri Agama antara positif COVID-19

JAKARTA, 21 SEPT – Seorang lagi menteri Indonesia disahkan positif COVID-19 ketika republik itu mencatatkan 4,176 kes positif baharu jangkitan virus berkenaan hari ini, jumlah tertinggi sejak kes pertama disahkan pada 2 Mac lepas.

Menteri Agama Facrul Razi, menjadi menteri ketiga Indonesia yang disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian swab pada 17 September lepas.

“Alhamdulillah keadaan fizikal beliau baik pada masa ini, tidak ada gejala-gejala mengkhuatirkan dan sedang menjalani kuarantin,” kata pegawai khas kepada menteri berkenaan, Kevin Haikal dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 14 Mac lepas, Menteri Perhubungan Indonesia Budi Karya Sumadi disahkan positif COVID-19, namun sembuh selepas menerima rawatan intensif di Rumah Sakit Pusat Angkatan Tentera Darat (RSPAD) Gatot Soebroto di Jakarta.

Pada 8 September, Menteri Kelautan dan Perikanan Edhy Prabowo turut disahkan positif virus itu dan kini dilaporkan semakin sembuh selepas dirawat di RSPAD.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, kes positif di republik itu kini meningkat kepada 248,852 dengan 108,880 pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 124 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 9,677 orang. – Bernama