LONDON, 9 NOV – Menteri kabinet dalam kerajaan Rishi Sunak, Gavin Williamson meletak jawatan pada Selasa selepas timbul dakwaan yang beliau membuli rakan sekerja, lapor Xinhua.
The Sunday Times dan media tempatan lain melaporkan bahawa Williamson bertindak menghantar mesej berunsur makian kepada rakan sekerjanya.
Sementara itu, The Guardian pada Isnin melaporkan Williamson berkata kepada seorang penjawat awam untuk ‘mengelar leher sendiri’ ketika menjadi setiausaha pertahanan dalam kerajaan Theresa May.
Dalam surat peletakan jawatan yang disiarkan di Twitter, Williamson mendakwa beliau telah meminta maaf kepada penerima mesej itu dan akan bekerjasama dengan bahagian penyiasatan.
Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan terdapat unsur buli dalam kejadian kedua. “Saya menafikan ciri-ciri dakwaan ini, tetapi saya menyedari hal ini menjadi gangguan terhadap kelancaran gerak kerja kerajaan untuk rakyat British.
“Oleh itu saya memutuskan untuk berundur daripada kerajaan supaya saya dapat mematuhi sepenuhnya proses aduan yang sedang dijalankan dan membersihkan nama saya daripada sebarang salah laku,” katanya menerusi ciapan di Twitter. – Bernama