BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud hari ini, secara berasingan menerima kunjungan muhibah daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai.
Kedua-dua perjumpaan tersebut berlangsung di Pejabat Menteri di JPM, Bangunan JPM.
Semasa kunjungan muhibah daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun, Yang Berhormat Dato dan Tuan Yang Terutama telah membincangkan mengenai kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa termasuk dalam bidang keselamatan, perekonomian, pendidikan, perhubungan dan sukan.

Sementara itu, pada kunjungan muhibah berasingan, Yang Berhormat Dato dan TYT Lim Hong Huai juga telah membincangkan mengenai kerjasama dua hala dalam bidang perekonomian, pelaburan, isu berkaitan perkhidmatan awam dan juga peluang latihan bagi para pegawai perkhidmatan awam.
Hadir sama semasa kunjungan muhibah daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ialah Timbalan Menteri i JPM, Datin Hajah Elinda binti Haji C.A. Mohamad.
Negara Brunei Darussalam telah menjalinkan hubungan dua hala dengan Jepun dan Republik Singapura masing-masing pada tahun 1984.