Menteri dikecam samakan virus dengan isteri

JAKARTA, 31 MEI – Seorang menteri Indonesia dikecam selepas membandingkan koronavirus dengan isteri yang ‘memberontak’ dalam usahanya mengurangkan kebimbangan rakyat berhubung larangan dikeluarkan kerajaan akibat COVID-19.

Kumpulan wanita dan pengguna media sosial menyelar kenyataan Menteri Keselamatan, Mohammad Mahfuz, yang dibuatnya ketika menyampaikan ucapan secara dalam talian kepada sebuah universiti tempatan baru-baru ini.

“Adakah kita perlu dikurung selamanya? Kita boleh menyesuaikan diri dengan situasi dengan memastikan tahap kesihatan diri.

“Sebelum ini saya menerima ‘meme’ daripada seorang rakan yang mengatakan koronavirus umpama isteri kita. Kita cuba mengawalnya, namun kita sedar tidak boleh berbuat demikian. Kemudian anda belajar untuk hidup dengannya,” kata Mohammad.

Pengkritik menyifatkan kenyataan itu sebagai seksis dan menunjukkan kelemahan Jakarta dalam menangani wabak berkenaan.

“Kenyataan itu bukan sahaja mencerminkan kedangkalan kerajaan dalam menyelesaikan COVID-19, malah menunjukkan bahawa pegawai kerajaan berfikiran seksis dan prejudis terhadap wanita,” menurut Pegawai Eksekutif Kumpulan Solidariti Wanita, Dinda Nisa Yura.

Indonesia mengerahkan kira-kira 340,000 tenteranya bagi mengesan pesalah penjarakan sosial dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Langkah itu diambil selepas kerajaan dijangka membuka semula sektor perniagaan yang terkesan minggu depan berikutan bimbang dengan keadaan ekonomi yang menjunam. – AFP

Gambar fail menunjukkan Mohammad Mahfuz MD (tengah), semasa menghadiri sidang akhbar di Jakarta. – AFP