Menteri dipecat beli gula-gula untuk teh COVID-19

ANTANANARIVO, 5 JUN – Menteri pendidikan Madagascar dipecat semalam selepas mengumumkan rancangan membeli gula-gula untuk diberikan kepada pelajar supaya mengeluarkan ‘rasa pahit’ daripada teh herba yang dikatakan oleh presiden merupakan penawar koronavirus.

Menteri Rijasoa Andriamanana berkata pada minggu lalu beliau akan memesan gula-gula bernilai AS$2.2 juta untuk dimakan bersama campuran Covid-Organics, yang diingatkan oleh beberapa pakar sebagai tidak berkesan ke atas COVID-19.

Beliau memberitahu akhbar bahawa ‘pembelian gula-gula dan lolipop’ telah dilakukan, dengan semua pelajar di negara pulau Lautan India itu menerima tiga biji setiap seorang.

Beliau menambah ia adalah untuk mengeluarkan ‘rasa pahit’ minuman itu, yang telah dipromosi oleh Presiden Andry Rajoelina untuk dieksport, berkata ia merupakan ‘teh’ yang bakal ‘mengubah sejarah.’

Faedah Covid-Organics masih belum disahkan oleh mana-mana kajian saintifik. – AFP