JAKARTA, 15 MAC – Menteri Pengangkutan Indonesia berada dalam perawatan intensif selepas diuji positif koronavirus (COVID-19), kata seorang pegawai, hari ini, ketika sekolah dan tempat-tempat pelancongan di negara itu diperintahkan untuk ditutup berikutan dengan ancaman wabak tersebut.
Menteri Pengangkutan Budi Karya Sumadi menerima rawatan di sebuah hospital tentera di Jakarta, menurut Setiausaha Negara Pratikno. Jurucakap hospital berkata, Sumadi mengalami kesukaran bernafas tetapi keadaannya bertambah baik.
Pratikno berkata Sumadi terlibat dalam usaha untuk pencegahan virus, terutamanya semasa terlibat dalam pemindahan penduduk Indonesia dari pusat wabak virus itu mula-mula ditemui di negara itu, dan Presiden Joko Widodo telah meminta ujian seumpamanya juga turut dilakukan kepada menteri lain. Presiden Joko Widodo turut menjalani pemeriksaan kesihatan berkaitan COVID-19, bersama seluruh jemaah menterinya, susulan seorang menteri Indonesia disahkan positif COVID-19.
Kes virus di Indonesia, negara ke-4 yang memiliki penduduk pa-ling ramai di dunia, telah melonjak dari sifar dua minggu lalu kepada 96, dengan lima kematian, menurut jurucakap kerajaan Achmad Yurianto. Beliau juga berkata virus itu telah tersebar di luar Jakarta ke Bandung di Jawa Barat, Solo di Jawa Tengah, Manado di Sulawesi Utara, Pontianak di Kalimantan Barat, serta Yogyakarta dan Bali. – AFP