Menteri EU gesa ahli kongsi keperluan COVID-19

BRUSSELS, 6 MAC – Sebahagian ahli Kesatuan Eropah (EU) hari ini menyelar Jerman, Perancis dan Republik Czech kerana menghalang pengeksportan beberapa bekalan perubatan yang mana akan membantu untuk memperlahankan penularan koronavirus.

Menteri-menteri kesihatan EU mengadakan perjumpaan untuk mengkoordinasi tindak balas terhadap wabak tersebut, tetapi Jerman telah mengharamkan pengeksportan topeng muka dan sarung tangan manakala Perancis telah mendapatkan kesemua bekalan mereka.

Beberapa negara anggota EU – seperti Itali, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 148 orang korban virus – telah mengkritik dengan tegas dan beberapa orang menteri merasakan semua keperluan tersebut sepatutnya dikongsi bersama.

“Saya rasa kita sepatutnya menunjukkan perpaduan, sebagai contoh dalam pembahagian sumber perlindungan,” kata menteri kesihatan Belgium, Maggie de Block.

“Terdapat dua buah negara yang mengharamkan pengeksportan. Itu bukan semangat sebenar EU.”

Menteri kesihatan Belanda, Bruno Bruins bersetuju dan memberitahu ketika perjumpaan tersebut, “Saya faham bahawa beberapa buah negara sedang mengambil langkah nasional untuk melindungi stok mereka. Saya percaya langkah tersebut bukan satu penyelesaian kepada kekurangan yang ketika ini memberi impak kepada seluruh Eropah.

Presiden Perancis Emmanuel Macron telah mengumumkan bahawa Perancis akan mendapatkan semua topeng muka mereka, yang dikeluarkan di negara itu, satu pengharaman de facto manakala Menteri Kesihatan Republik Czech, Adam Vojtech telah menghentikan pengeksportan disinfektan. – AFP

Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn, menjawab soalan dari wartawan sejurus perjumpaan menteri-menteri mengenai koronavirus di Brussels hari ini. – AFP