Menteri EU terima ketua pembangkang Belarus

BRUSSELS, 21 SEPT – Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) mengalu-alukan pemimpin pembangkang Belarus Svetlana Tikhanovskaya ke Brussels hari ini ketika mereka menyediakan sekatan EU untuk menyokong perjuangan beliau menentang rejim Minsk.

Bekas republik Soviet itu telah dibelenggu tunjuk perasaan ke atas Presiden Alexander Lukashenko sejak beliau kembali berkuasa dalam pilihan raya yang dipertikaikan pada 9 Ogos – dan bantahan tersebut telah dipatahkan secara ganas.

“Beliau menyampaikan laporan peristiwa di Belarus kepada kami,” beritahu ketua dasar luar EU Josep Borrell kepada wartawan, selepas mesyuarat sarapan dengan Tikhanovskaya dan menteri.

“Kami benar-benar kagum dengan keberanian dan semangat rakyat Rusia, terutamanya wanita Belarus yang menunjukkan semangat kepimpinan sebenar.

“Biarlah saya tekankan bahawa kami akan menyokong dialog kebangsaan mengenai hak penduduk Belarus untuk pilihan raya bebas dan adil,” kata beliau, menambah Brussels tidak mengiktiraf Lukashenko sebagai presiden sah Belarus. EU dan kuasa Barat lain telah menolak keputusan pilihan raya, berkata pengundian tidak bebas dan adil, dan Brussels dijangka mengenakan pembekuan aset dan larangan perjalanan ke atas anggota rejim Lukashenko.

“Kami perlu menyimpulkan bahawa tiada apa-apa yang telah berpulih dalam beberapa minggu lalu. Keganasan yang digunakan oleh Lukashenko ke atas penunjuk perasaan langsung tidak boleh diterima,” kata Menteri Luar Jerman Heiko Maas.

Selepas mesyuarat sarapan, para menteri mengadakan rundingan formal mengenai Belarus. – AFP

Josep Borrell (kiri) dan Svetlana Tikhanovskaya berbual sebelum mesyuarat sarapan bersama Menteri Luar EU di Brussels kelmarin. – AFP