Menteri Filipina sekali lagi diuji positif COVID-19

MANILA, 17 OGOS – Seorang menteri kerajaan Filipina diuji positif COVID-19 selepas lima bulan, dalam satu diagnosis awal, menurut pihak berkuasa hari ini, ketika pakar menyiasat sama ada dia dijangkiti semula.

Setiausaha Dalam Negeri Eduardo Ano yang membantu mengetuai badan tindak balas virus negara itu, mengatakan dia kembali diuji positif pada Sabtu selepas mengalami simptom seperti selesema minggu lalu.

Dia didiagnosis kali pertama dengan COVID-19 dalam Mac namun tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit pada masa itu.

Orang yang dijangkiti koronavirus membina antibodi kira-kira seminggu selepas jangkitan atau semasa mula-mula simptom timbul, menurut kajian.

Namun saintis belum pasti sama ada tubuh secara sistematiknya boleh membina imuniti mencukupi untuk menghalang serangan baharu oleh virus atau jika ia benar, berapa lama imuniti itu akan bertahan.

Beberapa kajian menunjukkan pesakit pulih daripada koronavirus mungkin hilang imuniti mereka dalam masa berbulan malah beberapa minggu.

Setiausaha Kesihatan Maria Rosario Vergeire mengatakan pakar sedang menganalisis simptom Ano, ujian positif sebelumnya dan keputusan makmal bagi memastikan sama ada ia ada jangkitan kedua. – AFP