Menteri G20 bincang pelonggaran sekatan perjalanan

RIYADH, 4 SEPT – Menteri luar G20 semalam berusaha mendapatkan kerjasama antarabangsa untuk melonggarkan sekatan perjalanan dan membuka semula sempadan, apabila penutupan berbulan-bulan akibat koronavirus mencetuskan kemelesetan ekonomi di seluruh dunia.

“Semasa mesyuarat, menteri-menteri luar mengakui kepentingan pembukaan semula sempadan, menyatukan keluarga dan mempromosi langkah-langkah untuk membenarkan ekonomi berkembang,” kata kumpulan G20 dalam satu kenyataan.

Menteri-menteri juga membincang ‘kepentingan menyelaras langkah pencegahan’ di sempadan untuk melindungi nyawa dan mata pencarian, tambah kenyataan selepas mesyuarat maya yang dianjurkan oleh Arab Saudi.

Negara itu, yang telah menggantung perjalanan antarabangsa selama beberapa bulan dalam usaha untuk mengekang penularan virus, memegang peranan presiden G20 pada tahun ini.

”Membuka semula sempadan, sejajar dengan semua langkah perlindungan akan membantu ekonomi kami berkembang, penduduk menjadi makmur, dan sudah tentunya membawa harapan kepada manusia,” Menteri Luar Saudi Putera Faisal bin Farhan dipetik sebagai berkata dalam kenyataan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata kebimbangan semakin meningkat bahawa sekatan perjalanan sekarang ‘mungkin dikuatkuasa lebih lama daripada krisis.‘

Beliau menggesa menteri G20 supaya mencapai kesepakatan mengenai ‘kriteria umum’ untuk membatalkan sekatan berdasarkan pendekatan saintifik.

Dalam kata-kata beliau pada mesyuarat, beliau juga menggesa menteri supaya merangsang pelaburan untuk menyokong ‘perjalanan selamat,’ termasuk langkah-langkah untuk mempertingkat ujian dan pengesanan. – AFP