Menteri G7 adakan mesyuarat kecemasan

LONDON, 29 NOV – Menteri Kesihatan kumpulan negara G7 mengadakan mesyuarat kecemasan hari ini, mengenai varian baharu COVID-19 iaitu Omicron yang tersebar di seluruh dunia sehingga menyaksikan sempadan negara ditutup selain pakar ‘berlumba-lumba untuk memahami strain itu dalam usaha mengakhiri ‘cengkaman’ virus maut itu.

Mesyuarat itu diadakan oleh pengerusi G7, Britain, antara negara yang merekodkan peningkatan kes berpunca strain baharu yang banyak bermutasi.

Omicron pertama kali dikesan di selatan Afrika, menyaksikan timbul cabaran baharu global untuk memerangi pandemik COVID-19.

Susulan kemunculan varian Omicron, beberapa negara mula menguatkuasakan kembali sekatan bagi mengekang penularannya.

“Kita tahu kita sekarang dalam perlumbaan menentang masa,” kata Ketua Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen.

Tambahnya, pembuat vaksin memerlukan dua hingga tiga minggu untuk memperoleh gambaran keseluruhan mengenai kualiti mutasi.

Banyak negara yang mengambil langkah mengenakan sekatan perjalanan selatan Afrika termasuk Qatar, Amerika Syarikat (AS), Britain, Indonesia, Arab Saudi, Kuwait dan Belanda. – AFP

Presiden EC, Ursula von der Leyen. – Xinhua