Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua dilantik duta khas ASEAN ke Myanmar

Oleh Hakim Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof hari ini dilantik sebagai duta khas ASEAN ke Myanmar menurut pernyataan bersama menteri-menteri luar ASEAN pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-54.

Menurut pernyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tahunan secara persidangan video hari ini, menteri-menteri luar ASEAN menyambut baik pemilihan oleh pengerusi ASEAN bagi Yang Berhormat Dato menjadi duta khas ASEAN ke Myanmar, yang akan memulakan tugas di Myanmar, termasuk membina keyakinan dan kepercayaan dengan mendapat kebenaran bertemu semua pihak berkaitan, menyediakan jadual pelaksanaan Konsensus Lima Perkara kepada Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN.

Mesyuarat itu juga membincangkan perkembangan terbaharu di Myanmar dan menyuarakan kebimbangan berhubung keadaan di negara itu, termasuk laporan mengenai kematian dan keganasan.

Mereka juga membincangkan tuntutan bagi pembebasan tahanan politik termasuk warga asing.

Isnin lalu, menteri-menteri luar membincangkan mengenai situasi di Myanmar, namun tiada pelantikan dibuat kerana menunggu pengesahan daripada pihak Myanmar.

Gambar fail Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua yang dilantik sebagai duta khas ASEAN ke Myanmar. – AP

Myanmar mengesahkan penerimaannya pada mesyuarat hari ini dan menteri-menteri ASEAN kemudiannya mengeluarkan pernyataan bersama tersebut.

Negara Brunei Darussalam pada masa ini merupakan negara pengerusi bagi blok 10 anggota ASEAN.

Pernyataan itu menyatakan, menteri-menteri luar ASEAN turut mengalu-alukan komitmen Myanmar terhadap Konsensus Lima Perkara Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada 24 April 2021 yang dianggap tepat pada masanya dan kesediaannya menerima pelaksanaan tuntutan permuafakatan itu sepenuhnya.

Konsensus itu merujuk kepada persepakatan oleh pemimpin ASEAN semasa sidang khas ASEAN pada 24 April di Jakarta Indonesia yang antara lainnya menyeru bagi menghentikan serta merta keganasan di Myanmar, dialog konstruktif antara semua pihak, pelantikan duta khas sebagai perantara, menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) dan duta khas akan melawat Myanmar dan bertemu dengan semua pihak yang berkenaan. Menteri-menteri ASEAN juga mengalu-alukan kemas kini yang disediakan oleh setiausaha agung ASEAN berhubung status Konsensus Lima Perkara.

Pada mesyuarat itu, menteri-menteri juga menyeru bagi pengukuhan peranan Pusat AHA bagi menyediakan bantuan kemanusiaan di Myanmar seperti yang dimandatkan oleh Konsensus Lima Perkara Mesyuarat Pemimpin ASEAN dan menyarankan agar Lembaga Pentadbir Pusat AHA segera memulakan kerja berkaitan garis panduan dasar untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara itu.