BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, menjadi salah satu tumpuan kunjungan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Ukraine, Pavlo Klimkin berserta rombongannya ke Negara Brunei Darussalam, semalam.
Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Pavlo Klimkin serta rombongan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, keunikan seni bina Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang tersendiri merupakan antara daya tarikan dan sambutan pelancong yang berkunjung ke negara ini sehingga mendapat pengiktirafan dan pernah dinobatkan dengan ’Certificate of Excellence’ selama dua tahun berturut-turut pada tahun 2014 dan 2015 oleh Tripadvisor.
Masjid berkenaan telah mula dibina pada 4 Februari 1954 Masihi dan dibuka rasmi oleh Al-Mahrum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada 26 September 1958 Masihi. Masjid ini termasuk dalam senarai ’Heritage Trail’ dan diwartakan pada tahun 2011 di bawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967.

Antara keindahan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang mendapat perhatian pengunjung adalah lagun yang memperlihatkan masjid ini seperti tertimbul di atas air.
Di situ juga terletaknya satu replika bahtera diraja kurun ke-16 bernama Mahligai yang disambung oleh sebuah jambatan kecil ke kawasan taman masjid. Replika ini dibina pada tahun 1967 Masihi sempena memperingati peristiwa Nuzul Al- Quran dan pernah digunakan sebagai astaka Pertandingan Membaca Ayat-ayat Suci Al-Quran pada penghujung tahun 1960 hingga awal tahun 1970.
































