Menteri India salahkan ‘pakaian Barat’ atas serangan seksual

BANGALORE, India, 3 Jan – Menteri India berdepan tindak balas teruk hari ini selepas dia mengkritik wanita kerana berpakaian ‘seperti orang Barat’ semasa perayaan Tahun Baru di mana kumpulan perusuh dipercayai melakukan siri serangan seksual.

Walaupun polis belum lagi mendakwa sesiapa yang berkaitan dengan keganasan pada malam Sabtu di Bangalore, media tempatan telah menjalankan testimoni dan foto-foto mangsa yang ketakutan daripada penyerang mereka dan melarikan diri ke tempat selamat.

Polis berkata mereka kini sedang menggeledah rakaman CCTV untuk melihat jika mereka boleh mengenal pasti sebarang penyerangnya.

Namun menteri yang bertanggungjawab bagi pengawasan di negeri selatan Karnataka, yang bandar terbesarnya adalah Bangalore, berkata serangan ‘malang’ itu adalah berpunca daripada wanita yang memakai pakaian Barat.

“Sekumpulan besar muda-mudi yang berkumpul – belia yang hampir kelihatannya seperti orang Barat,” Menteri Dalam Negeri Karnataka, G Parameshwara memberitahu rangkaian televisyen The Times Now, bercakap dalam Bahasa Inggeris.

“Mereka cuba untuk meniru orang Barat bukan hanya cara pemikiran, malah cara berpakaian, beberapa daripadanya menjolok mata, beberapa budak perempuan telah diganggu, perkara ini memang berlaku.” Parameshwara, yang kemudian mendakwa telah disalahertikan, meluasnya dikecam atas komennya dalam televisyen, dengan menteri rendah dalam negeri kerajaan tengah, Kiren Rijiju menggambarkannya sebagai ‘tidak bertanggungjawab’.

“Kita tidak boleh membiarkan tindakan memalukan itu tidak dihukum,” katanya dalam Twitter, menambah bahawa keselamatan wanita adalah ‘penting dalam masyarakat bertamadun’.

Lalitha Kumaramangalam, yang mengetuai Suruhanjaya Negara bagi Wanita India, berkata Parameshwara perlu meletak jawatan atas komennya itu.

“Saya ingin bertanya kepada menteri ini: adalah lelaki India terlalu menyedihkan dan lemah sehingga apabila mereka melihat seorang wanita dalam pakaian Barat pada hari temasya, mereka akan hilang kawalan?

“Bilakah lelaki India belajar untuk menghormati wanita? Menteri berkenaan harus meminta maaf kepada wanita di negara ini dan meletak jawatan,” kata Kumaramangalam kepada agensi berita Press Trust of India.

India telah dimalukan dengan tahap serangan seksual yang mengejutkan ke atas wanita, yang menjadi tumpuan pada Disember 2012 apabila seorang pelajar telah dirogol secara beramai-ramai dalam sebuah bas di New Delhi yang kemudian meninggal dunia akibat kecederaan tersebut, membawa kepada pembatalan rasmi bagi perayaan Tahun Baru pada tahun tersebut. – AFP