Menteri kehakiman didakwa salah guna kuasa

SEOUL, 15 SEPT – Pihak pendakwa Korea Selatan hari ini menyerbu Kementerian Pertahanan susulan tuduhan Menteri Kehakiman Choo Mi-ae menggunakan pengaruhnya bagi mendapatkan cuti panjang untuk anaknya semasa menjalani khidmat tentera
wajib pada 2017, lapor Agensi Berita Yonhap.

Choo didakwa menggunakan pengaruhnya sebagai ketua Parti Demokrat ketika itu, bagi mendapatkan cuti panjang untuk anaknya selepas menjalani pembedahan lutut.

Anak kepada menteri kehakiman itu telah diberi empat hari cuti tambahan selepas cuti sakitnya selama 19 hari berakhir dan perlu menyertai semula latihan ketenteraan itu.

Serbuan yang dilakukan itu bagi membolehkan pihak pendakwa mendapatkan bukti
daripada rekod pelayan komputer di kementerian berkenaan.

Menurut sumber ketenteraan, pelayan itu menyimpan rakaman semua panggilan yang dibuat pejabat itu sejak 2015. – Bernama