Menteri Kesihatan Afrika Selatan, isteri positif COVID-19

JOHANNESBURG, 19 OKT – Menteri kesihatan Afrika Selatan dan isterinya dijangkiti COVID-19 ketika kes di negara ini terus meningkat, lapor Agensi Anadolu.

“Saya ingin memberitahu orang ramai, hari ini saya dan isteri Dr May Mkhize disahkan positif COVID-19,” ujar Zweli Mkhize dalam Twitter kelmarin.

Menteri itu berkata beliau melakukan ujian COVID-19 pada Sabtu apabila mula menunjukkan gejala ringan.

“Saya kini menjalani kuarantin di rumah dan saya serta isteri tetap optimis yang kami akan pulih sepenuhnya daripada virus ini,” katanya.

Menteri itu menggesa warga Afrika Selatan terus mematuhi protokol kesihatan seperti memakai penutup mulut dan hidung, menjaga jarak sosial dan kerap membasuh tangan.

Menurutnya negara itu telah membuat kemajuan penting dalam memerangi pandemik tersebut.

Afrika Selatan, pernah menjadi antara enam negara paling terjejas di dunia, kini yang ke-12 paling banyak dijangkiti dengan jumlah kes tertinggi di benua ini.

Negara itu mencatatkan 1,662 kes baharu COVID-19 kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 703,793 dengan 18,471 kematian. Lebih 600,000 lagi telah pulih.

Lebih 4.5 juta individu menjalani ujian saringan sejak pertama kali ia dikesan di negara ini tujuh bulan lalu. – Bernama