Menteri Kesihatan Bolivia ditahan terbabit kes rasuah

LA PAZ, 21 MEI – Menteri Kesihatan Bolivia ditahan pihak berkuasa selepas disyaki terbabit dalam satu kes rasuah, berhubung pembelian alat bantuan pernafasan pada harga terlalu tinggi, kata polis semalam.

Marcelo Navajas ditahan polis ketika berada di ibu negara, kata Kolonel Ivan Rojas, sehari selepas Presiden Interim, Jeanine Anez mengarahkan siasatan dibuat.

Turut ditahan ialah dua pegawai kementerian berkenaan.

Bolivia membeli 179 mesin bantuan pernafasan daripada sebuah pengeluar di Sepanyol, berharga AS$27,683 setiap satu, dengan nilai keseluruhan berjumlah AS$5 juta.

Pembelian berkenaan dibiayai Bank Pembangunan Inter-American dan dua petugas bank terbabit sudah dipanggil untuk memberikan kenyataan sebagai saksi.

Siasatan mendapati harga asal ditawarkan pengeluar itu hanya sekitar AS$10,312 – AS$11,941 setiap satu.

Sebuah lagi syarikat Sepanyol bertindak sebagai orang tengah.

Skandal berkenaan terdedah akhir minggu lalu apabila doktor di unit rawatan rapi mengadu bahawa alat berkenaan tidak sesuai digunakan di wad mereka.

Siasatan lanjut mendapati kesemua mesin itu dibeli pada harga yang tidak masuk akal.
Bolivia merekodkan 4,500 kes COVID-19 dan 190 kematian setakat ini. – AFP