Menteri kesihatan Czech langgar peraturan virus

PRAGUE, 23 OKT – Menteri kesihatan Czech dikritik hari ini selepas seorang jurugambar tabloid merakamnya meninggalkan sebuah restoran yang sepatutnya ditutup di bawah sekatan antivirus yang dikuatkuasa oleh beliau sendiri.

Roman Prymula, ahli epidemiologi yang telah memegang jawatan tersebut sejak September, juga tidak memakai penutup mulut dan hidung apabila beliau memasuki keretanya bersama seorang pemandu, lapor akhbar Blesk.

“Apa yang berlaku hari ini adalah satu bencana dan kejutan bagi saya,” beritahu Perdana menteri Andrej Babis kepada wartawan, berjanji akan memecat Prymula melainkan beliau sendiri meletak jawatan.

“Kita tidak boleh bertindak seperti ibu ketam mengajar anaknya berjalan,” tambahnya.

Namun Prymula enggan meletak jawatan, menegaskan mesyuarat telah diadakan di premis bersebelahan restoran dan beliau hanya melanggar peraturan pemakaian penutup mulut dan hidung untuk seketika.

“Saya tidak melanggar sebarang peraturan, dan saya tidak akan meletak jawatan,” beritahunya kepada pemberita.

Kejadian di restoran itu menerima kritikan dari pengguna media sosial, pembangkang dan orang lain dalam gabungan pemerintah, tatkala Republik Czech mencatat angka COVID-19 baharu yang paling teruk di seluruh Eropah.

“Peraturan mesti dikenakan untuk semua orang, tanpa kekecualian,” kata Menteri Dalam Negeri Jan Hamacek, ketua jawatankuasa krisis kerajaan, dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita CTK. – AFP