Menteri Kesihatan Israel positif COVID-19

BAITULMAQDIS, 2 APRIL – Menteri Kesihatan Israel Yaakov Litzman, anggota berpengaruh komuniti Yahudi ultra Ortodoks, telah diuji positif dijangkiti COVID-19, memaksa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menjalani semula kuarantin untuk kali kedua, kata pegawai hari ini.

Kuarantin Netanyahu sebelum ini, yang dikenakan pada awal minggu ini selepas salah seorang kakitangannya diuji positif, telah berakhir malam semalam, kata pejabatnya.

Kuarantin baharu selama tujuh hari untuk perdana menteri dikenakan semula berikutan kontak beliau dengan Litzman, 77 tahun, kata pejabat perdana menteri.

Litzman daripada sekta Gur Hassidic, yang mana isterinya juga diuji positif, adalah anggota paling berpengaruh komuniti ultra Ortodoks, diuji positif dijangkiti virus yang telah menjangkiti lebih daripada 6,200 penduduk Israel.

“Litzman dan isterinya rasa sihat, sedang menerima rawatan dan akan dikuarantin dan dipantau,” kata kenyataan kementerian kesihatan.

Kementerian menambah ketua pengarahnya, Moshe Bar Siman Tov, bersama pegawai kanan lain, juga akan dikuarantin kerana mempunyai kontak dengan Litzman. – AFP

Gambar bertarikh 2 Mac menunjukkan Yaakov Litzman menyampaikan satu kenyataan ketika beliau mengunjungi khemah sementara untuk pengundi yang dikuarantin di Tel Aviv, Israel. – AP