Menteri Kesihatan tersenarai 50 pemimpin Leading Lights

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Kepimpinan contoh dan kebaikan yang diketengahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) diiktiraf dan diberikan penghormatan apabila beliau disenaraikan dalam UK and Asia Pacific Kindness & Leadership 50 Leading Lights yang telah diumumkan pada 13 November pada Hari Kebaikan Sedunia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, menyatakan bahawa inisiatif Kindness in Leadership, mengiktiraf pemimpin-pemimpin United Kingdom (UK) dan Asia Pasifik menerajui perubahan positif.

Pemimpin-pemimpin yang disenaraikan telah menunjukkan nilai yang amat tinggi di mana kebaikan digabungkan dengan kepimpinan mereka yang boleh menghasilkan sumbangan positif kepada peniagaan, ekonomi dan masyarakat.

Dengan mengetengahkan kebaikan, jelas kenyataan itu, inisiatif berkenaan yang bermula di UK pada 2018 telah merubah perbincangan kepimpinan yang menunjukkan hubungan yang kuat dan telus di antara kepimpinan baik hati dan perniagaan yang baik.

COVID-19 telah merubah landskap kepimpinan dengan belas kasihan dan empati diberikan keutamaan di mana dengan dunia bergerak hampir kepada melakukan urusan seperti biasa, inisiatif itu, menekankan pentingnya kebaikan dalam organisasi merentas rantau yang berbeza dengan menunjukkan kuasa kebaikan untuk melangkaui sempadan negara dan budaya.

Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam telah mencalonkan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bagi anugerah itu berasaskan kepimpinan contoh dan kebaikan yang telah ditunjukkan oleh beliau sepanjang pandemik COVID-19.

Pesuruhjaya Tinggi British Ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe menyampaikan ucapan tahniah dan amat gembira apabila mengetahui bahawa Yang Berhormat Dato telah diiktiraf dan disenaraikan dalam senarai 50 orang pemimpin berkenaan.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham berkata bahawa penglibatan berterusan dalam suasana pembelajaran yang positif membantu pekerja untuk membina keyakinan serta membolehkan mereka menggunakan bakat mereka serta meluahkan idea dan pandangan tanpa ragu-ragu dan ketakutan.

Sementara itu, Pengasas Women of the Future (WOF) Programme, Pinky Lilani CBE DL amat teruja untuk mengumumkan 50 Leading Lights di serata rantau UK dan Asia Pasifik di mana ia mengetengahkan pemimpin-pemimpin yang luar biasa yang telah menggunakan kuasa kebaikan untuk membuat kesan signifikan dan menjana perubahan positif, dengan menempatkan kebaikan di tengah-tengah debat kepimpinan.

“Bersama, kami menggalakkan pemimpin-pemimpin hari ini dan esok-tanpa mengira peranan atau latar belakang untuk memimpin dengan kebaikan, kerana apabila kebaikan itu adalah mata wang, kita semua boleh menjadi jutawan.”

Bersama-sama dengan Said Business School, University of Oxford, Kempen The Kindness & Leadership Leading Lights telah meneroka ciri-ciri berkaitan dengan pemimpin baik hati.

Mereka yang amat mengambil berat mengenai orang lain dan yang menunjukkan sikap kemanusiaan, kemurahan hati dan balas kasihan serta berdedikasi untuk menyokong kebajikan orang lain dan memupuk semangat bekerjasama, merupakan ciri-ciri khusus yang dipertimbangkan dalam pemilihan Leading Lights itu.