Menteri kewangan EU sebulat suara

BRUSSELS, 4 Dis – Menteri-menteri kewangan Kesatuan Eropah (EU) hari ini memeterai reformasi bagi meningkatkan langkah menentang krisis kewangan yang gagal mencapai sasaran sebenar untuk melancarkan semula Eropah oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Perjanjian antara 27 menteri kewangan EU, tanpa Britain, adalah untuk menyerahkan alat yang lebih berpengaruh kepada pihak berkuasa jika sekiranya berlaku kejutan besar kepada ekonomi Eropah.

Cadangan tersebut adalah untuk memperkukuhkan ekonomi Eropah, tetapi tidak termasuk wawasan yang jauh lebih hebat yang digesa oleh Perancis seperti mengadakan jawatan menteri kewangan zon euro atau menubuhkan IMF ala-Eropah.

Para menteri mengadakan rundingan lebih 18 jam diikuti dengan perbincangan mengenai idea menubuhkan belanjawan blok mata wang tunggal 19 negara zon euro.

“Kami meraih keputusan yang bagus. Reformasi bidang euro sedang bergerak dengan langkah yang tegas. Terima kasih kepada semua yang membantu,” kata Menteri Kewangan Jerman, Olaf Scholz. Reformasi itu memerlukan lampu hijau daripada para pemimpin EU pada sidang kemuncak minggu depan di Brussels.

Kerajaan nasional telah berbulan-bulan lamanya memikirkan satu cadangan untuk mewujudkan kapasiti belanjawan untuk blok mata wang tunggal itu, yang boleh digunakan sekiranya berlaku krisis atau kejutan ekonomi.

Macron mencetuskan idea belanjawan memerangi krisis, sebagai sebahagian daripada visi beliau dalam mengukuhkan semula EU selepas krisis hutang, Brexit dan kebangkitan golongan populis.

Para menteri telah menyetujui idea versi yang lebih kecil, hanya dikaitkan untuk mempertingkatkan reformasi yang disokong EU dan bukan sebagai bantuan untuk menyelamatkan diri daripada kemerosotan ekonomi yang tidak dapat dijangka. – AFP

Menteri Kewangan Portugal berjabat tangan dengan Menteri Ekonomi dan Kewangan Itali semasa mesyuarat kumpulan Euro di ibu pejabat EU di Brussels semalam. – AFP