Menteri KKBS terima kunjungan hormat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) dari Jepun, hari ini.

Rombongan telah diketuai oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Kejurulatihan NSSU, Profesor Masamitsu Ito di Pejabat Menteri, Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud bersama para pegawai kanan kementerian berkenaan.

Semasa kunjungan hormat tersebut, perbincangan tertumpu khususnya dalam mengadakan bengkel kejurulatihan sains sukan kepada persediaan atlet sukan para negara bagi menyertai sukan serantau dan antarabangsa termasuklah usaha-usaha ke arah mempertingkatkan dan memperkukuhkan lagi perkembangan sukan para di negara ini. Rombongan seterusnya berkesempatan mengadakan taklimat bersama para pegawai kanan dan Persatuan Paralimpik Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menerima kunjungan hormat daripada rombongan Universiti Sains Sukan Nippon Jepun, kelmarin.