Menteri Luar Australia lawat Kemboja

PHNOM PENH, 8 NOV – Diplomat tertinggi Australia hari ini bertemu dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen bagi membincangkan pelbagai isu termasuk pandemik koronavirus semasa perhentian kedua jelajah empat negara Asia Tenggara.

Menteri Luar Marise Payne bertukar-tukar pandangan bersama Hun Sen mengenai perdagangan dan peruntukan bantuan Australia kepada Kemboja dalam bidang pendidikan, kesihatan, pertanian dan sektor pertahanan, kata jurucakap perdana menteri Kemboja, Eang Sophalleth.

Payne semasa rundingan itu mengatakan Australia akan memperuntukkan 3.5 juta dos vaksin COVID-19 kepada Kemboja, dengan 1.5 juta dos dijangka tiba pada hujung tahun ini, menurut Eang. Australia dalam Februari mengumumkan satu geran berasingan sebanyak AS$28 juta kepada Kemboja untuk membeli tiga juta dos vaksin.

Payne yang juga menteri wanita, turut melawat tempat perlindungan bagi wanita yang terselamat daripada keganasan di Phnom Penh dan menerima sokongan daripada kerajaan Australia.

Payne kini dalam jelajah ke Malaysia, Kemboja, Vietnam dan Indonesia dengan Jabatan Hal Ehwal Luar Negara dan Perdagangan mengumumkan minggu lalu, bahawa matlamatnya adalah untuk berkongsi usaha mempromosikan pemulihan ekonomi dan kesihatan rantau itu daripada COVID-19. – AP

Gambar serahan National Television of Cambodia menunjukkan Marise Payne (kiri) bersama Perdana Menteri Kemboja sebelum perbincangan mereka di Istana Keamanan, Phnom Penh, Kemboja, 8 November. –AP