Menteri luar Sweden lawat Israel, Palestin

STOKCHOLM, 17 OKT – Menteri luar negeri Sweden akan melakukan lawatan rasmi pertama ke Israel dalam satu dekad, kata kerajaan tersebut, berikutan tujuh tahun hubungan yang sukar setelah Stockholm mengiktiraf Palestin.

“Menteri Luar Negeri, Ann Linde akan melawat Israel dan Palestin pada 18 dan 19 Oktober,” menurut kerajaan tersebut dalam sidang media.

Sejak pengiktirafannya sebagai ‘Negara Palestin’ pada tahun 2014, Sweden mempunyai hubungan yang sukar dengan Israel. Linde akan bertemu dengan rakan sejawatnya, Yair Lapid dan juga Presiden Israel, Isaac Herzog. Beliau juga akan mengunjungi Yad Vashem dan ikut serta dalam pembukaan pameran yang meraikan 70 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. “Mempunyai hubungan yang normal di tahap menteri luar negeri itu sendiri merupa-kan bab baru dalam dialog polisi luar negeri kita,” beritahu menteri itu kepada agensi berita Sweden TT.

Pada 15 September, sewaktu panggilan telefon rasmi pertama dengan Lapid, dia menekankan ‘kepentingan hubungan dua hala mereka’. “Kami berdua menekankan persahabatan dan kerjasama dapat dan harus berjalan dengan menghormati kepercayaan dan perbezaan masing-masing,” menurut Linde, menyatakan sokongannya terhadap tuntutan keselamatan Israel. – AFP