Monday, March 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri-menteri kabinet M’sia angkat sumpah

    PUTRAJAYA, 10 MAC – Kesemua 31 menteri kabinet hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di sini, hari ini.

    Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Majlis pada pukul 3 petang itu dimulai dengan irama lagu kebangsaan ’Negaraku’ dimainkan di Balairung Seri, di istana berkenaan.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir menyaksikan majlis itu di samping Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang.

    Kesemua mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama barisan jemaah menteri pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Melawati, kelmarin.
Turut kelihatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (duduk, lima kiri) dan isteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman. –Bernama

    Kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman pembentukan kabinet baharu semalam.

    Menteri-menteri itu dibahagikan kepada lima kumpulan dengan kumpulan pertama seramai tujuh orang terdiri daripada empat Menteri Kanan – Mohamed Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Datuk Seri Ismail Sabri (Menteri Pertahanan);Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) dan Menteri Pendidikan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin. Tiga lagi dalam kumpulan itu ialah Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz; Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan) dan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

    Kumpulan kedua pula terdiri daripada tujuh orang iaitu; Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar; Datuk Seri M. Saravanan (Menteri Sumber Manusia); Datuk Seri Rina Mohd Harun (Menteri Wanita dan Keluarga) dan Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi). Yang lain ialah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Tugas-tugas Khas); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Ekonomi).

    Kumpulan ketiga pula terdiri daripada Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri); Datuk Saifuddin Abdullah (Menteri Komunikasi dan Multimedia); Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Menteri Pembangunan Luar Bandar).

    Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan); Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan) dan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli) juga dalam kumpulan itu.

    Kumpulan keempat pula meliputi Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Luar; Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara). Turut di dalam kumpulan itu ialah Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) dan Datuk Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

    Kumpulan terakhir terdiri daripada Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan). Datuk Takiyuddin Hassan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Parlimen dan Undang-undang); Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan terakhir Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama) pun berada dalam kumpulan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda