Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Menteri-menteri Pendidikan ASEAN bersidang di Hanoi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN (ASED) ke-12, Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN Plus Three (APT EMM) ke-6 dan Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS EMM) ke-6 yang berlangsung secara bersemuka pada 13 dan 14 Oktober di Hanoi, Vietnam.

    Mesyuarat-mesyuarat tersebut dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan Latihan Vietnam selaku pengerusi mesyuarat tahun ini dengan membawa tema Joint Efforts to Reimagine Learning and Building Resilience of Education Systems in ASEAN and Beyond in the New Context.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut, menteri-menteri pendidikan dimaklumkan mengenai pelaksanaan inisiatif-inisiatif pendidikan ASEAN, pelan kerja ASEAN dan aktiviti-aktiviti di bawah sektor pendidikan ASEAN dari negara-negara ahli dan beberapa pertubuhan.

    Mengenai usaha ke arah menghasilkan sistem pendidikan yang lebih berdaya tahan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah mengongsikan mengenai Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan yang memfokus kepada tiga bidang utama iaitu teknologi pendidikan, teknologi pengurusan serta dasar dan infrastruktur yang memudahcara.

    Pelan tersebut antara lain bertujuan untuk memastikan agar pembelajaran digital akan berterusan sebagai norma baharu dalam sistem pendidikan.

    Selain itu, mesyuarat-mesyuarat tersebut juga telah menyokong bagi Deklarasi Transformasi Digital Sistem Pendidikan di ASEAN untuk dihadapkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 bagi pengesahan.

    Turut mengiringi Yang Berhormat Menteri Pendidikan ke mesyuarat-mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan dan pegawai-pegawai kementerian berkenaan.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bersama menteri-menteri pendidikan lain bergambar ramai semasa majlis perasmian mesyuarat-mesyuarat berkenaan. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...