Menteri-menteri pendidikan Asean kongsi respons COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Dalam menangani dan memberikan respons segera kepada penularan pandemik COVID-19 bagi bidang pendidikan, Negara Brunei Darussalam mengambil tindak balas segera yang menumpukan kepada empat kumpulan sasaran utama iaitu pelajar, guru-guru dan pemimpin sekolah, ibu bapa serta pihak yang berkepentingan
yang lain.

Sokongan dan bantuan terhadap kumpulan sasaran tersebut merangkumi garis panduan terhadap cara pengajaran dan pembelajaran yang baharu, sokongan teknikal, penjarakan sosial dan kebersihan, peningkatan keupayaan dan kapasiti, kesejahteraan dan sokongan sosioemosi.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa sesi Forum Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) mengenai Tindak Balas COVID-19 yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.

Beliau turut menyentuh mengenai bantuan yang diberikan dalam menyokong pelajar yang kurang berkemampuan terutamanya dalam menyediakan infrastruktur dalam memastikan akses yang saksama terhadap pendidikan pada masa yang mencabar ini.

E-Forum yang pertama kali diadakan itu membawa tema Education in Post COVID-19 World dan dihoskan oleh Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr Mohd Radzi bin Jidin selaku presiden Majlis SEAMEO bersama Sekretariat SEAMEO.

Forum itu menyaksikan penyertaan menteri-menteri pendidikan dari 10 negara anggota SEAMEO di mana forum bermatlamat menjadi landasan perbincangan dan perkongsian antara menteri-menteri pendidikan di Asia Tenggara mengenai tindak balas negara masing-masing terhadap pandemik COVID-19 berkaitan dengan pendidikan, strategi untuk membentuk |norma baharu dalam pendidikan serta peranan teknologi dan pembelajaran jarak jauh semasa COVID-19.

Pengarah Sekretariat SEAMEO mengakhiri forum berkenaan dengan rumusan dan dapatan hasil perbincangan serta cadangan bagi Kenyataan Bersama Menteri-menteri mengenai tindak balas semasa COVID-19.

Turut hadir semasa forum itu ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menghadiri sesi Forum SEAMEO mengenai Tindak Balas COVID-19 secara dalam talian, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan