Menteri-menteri pertahanan ASEAN bincang hala tuju

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Menteri-menteri pertahanan ASEAN, hari ini, telah bersidang secara dalam talian bagi Retreat Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof (gambar) selaku ketua ADMM Negara Brunei Darussalam di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, semasa retreat itu, menteri-menteri pertahanan ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi mengimbas semula kemajuan dan perkembangan ADMM sejak penubuhannya pada 2006 dan seterusnya memperingati ulang tahun ADMM ke-15 serta membincangkan penglibatan sektor pertahanan bagi 2021.

Menteri-menteri pertahanan ASEAN turut mengongsikan pandangan dan perspektif masing-masing mengenai arah tuju masa depan ADMM termasuk prospek kerjasama ADMM pada masa akan datang di pelbagai badan sektoral ASEAN dan Tonggak Komuniti ASEAN.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah selaku ketua Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertahanan ASEAN (ADSOM) Negara Brunei Darussalam dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Strategi) di Kementerian Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud selaku ketua Kumpulan Kerja ADSOM Negara Brunei Darussalam.

Pada penghujung retreat itu, sebuah klip video Buku Peringatan ADMM Penubuhan ADMM 15 Tahun telah ditayangkan yang memaparkan perjalanan ADMM semenjak penubuhannya dalam merealisasikan pencapaian-pencapaian ADMM hingga kini.

Ditubuhkan pada 2006, ADMM merupakan landasan penting dalam pembangunan keselamatan ASEAN bagi memudah cara dialog terbuka dan konstruktif, mengenai isu keselamatan serantau di peringkat menteri.

Negara Brunei Darussalam merupakan ahli aktif ADMM dan sentiasa mendukung inisiatif ADMM untuk mengukuhkan pembangunan keselamatan serantau.

Selaku pengerusi ADMM bagi 2021, ADMM Retreat menandakan penglibatan terakhir di peringkat menteri bagi Negara Brunei Darussalam.