Menteri minta rakyat kurangkan minum teh

NEW DELHI, 15 JUN – Menteri Perancangan Pakistan, Ahsan Iqbal meminta orang ramai mengurangkan pengambilan air teh bagi menjimatkan pertukaran mata wang asing.

Menteri itu mencadangkan orang ramai mengurangkan pengambilan teh setiap hari sebanyak satu atau dua cawan.

“Saya merayu kepada negara untuk mengurangkan penggunaan teh… kerana kami mengimport teh itu selepas meminjam wang,” katanya.

Di media sosial rakyat Pakistan meluahkan rasa tidak percaya terhadap cadangan itu yang disifatkan akan menjejaskan budaya minum teh yang popular dalam kalangan penduduk.

Pakistan merupakan antara pengimport teh terkemuka dunia, dengan nilai import tahun fiskal Julai 2020-Jun 2021 ialah AS$580.5 juta.- Bernama