Menteri MITI sertai WEF-ASEAN 2018

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking akan berkongsi pengalaman Malaysia dalam mentransformasikan hala tuju industri pengeluaran dan pembuatan ke arah pendigitalan serta mempelajari amalan terbaik dari negara-negara lain di Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengenai ASEAN 2018.

Forum tiga hari bertemakan ‘ASEAN 4.0: Keusahawanan dan Revolusi Industri Keempat’ bermula di Hanoi, Vietnam, hari ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata para peserta akan membincangkan mengenai isu-isu strategik tentang tiga teras utama iaitu Keusahawanan untuk Merangka Pendekatan Baharu Kepada Tadbir Urus Serantau dan Global, Keusahawanan bagi Memacu Kedinamikan Ekonomi dan Perniagaan, dan Keusahawanan untuk Membentuk Inklusi Sosial.

Gambar fail pada 8 September 2018 menunjukkan Darell Leiking (kanan) pada pertemuan dengan Anggota Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC). Darell Leiking akan berkongsi pengalaman Malaysia dalam mentransformasikan hala tuju industri pengeluaran dan pembuatan ke arah pendigitalan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengenai ASEAN 2018. – Bernama

Darell diundang oleh WEF untuk menyertai beberapa sesi merangkumi topik seperti ‘Perdagangan Bermasalah: Menangani Ketegangan Geo-Ekonomi’, ‘Mendepani Gangguan: Masa Depan Digital ASEAN’ dan ‘Meningkatkan Perdagangan dan Pelaburan di Asia Pasifik’, kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

“Penyertaan dalam forum tersebut menyediakan peluang bagi Malaysia untuk memberi jaminan kepada komuniti perniagaan global, terutamanya dari negara-negara ASEAN dan rakan dialog kita, tentang komitmen Malaysia untuk menjadikan negara sebagai destinasi pilihan bagi perdagangan dan pelaburan.

“Sesi perangkaian dengan perniagaan serantau dan pelabur asing menyediakan peluang bagi Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti dengan tokokan nilai tinggi, pengeluaran berintensifkan modal dan teknologi tinggi ke negara ini,” kata kementerian itu. – Bernama