Sunday, December 4, 2022
31.7 C
Brunei

-

Menteri OIC bincang isu Baitulmuqaddis 1 Ogos

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar pada 1 Ogos di Istanbul, bagi membincangkan perkembangan terbaharu di Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa.

Setiausaha Agung OIC Dr Yousef A. Al-Othaimeen berkata, isu Masjid Al-Aqsa menjadi keutamaan sekarang dan masalah itu tidak boleh dipandang remeh.

Apa jua tindakan menjejaskan kesucian Masjid Al-Aqsa boleh memberikan kesan sangat serius dan menggugat kestabilan rantau ini, katanya.

Kenyataan beliau dibacakan Penolong Setiausaha Agung untuk Hal Ehwal Palestin, Samir Bakr Diyab pada pembukaan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tetap OIC di Jeddah bagi membincangkan perkembangan di Baitulmuqaddis pada Isnin.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Kementerian Luar Palestin, Taysir Jaradat menyeru semua pihak mengecam tindakan Israel yang dilihat ingin mengubah sejarah sedia ada serta menghalang kebebasan umat Islam memasuki Masjid Al-Aqsa.

Beliau turut menggesa jawatankuasa OIC ditubuhkan untuk melakukan tindakan susulan dan mencari kaedah sesuai bagi membolehkan langkah menyeluruh diusahakan oleh organisasi antarabangsa, pertubuhan hak asasi manusia dan mempengaruhi masyarakat antarabangsa untuk memainkan peranan serta mewujudkan tekanan kepada Israel.

Ketegangan di Masjid Al-Aqsa dan Baitulmuqaddis tercetus minggu lepas, selepas rejim Israel memperkenalkan alat pengesan logam di pintu masuk kompleks Al-Aqsa susulan kematian dua anggota polisnya pada 14 Julai.

Tindakan itu, menerima bantahan hebat umat Islam seluruh dunia kerana ia dianggap pelanggaran hak umat Islam selain merupakan percubaan rejim mendapatkan lebih banyak hak kawalan ke atas kawasan berkenaan. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -